Connect with:




Anda panas baran atau cepat marah? Jangan buat kelakuan yang tidak sepatutnya kerana ia boleh mengundang layangan kad kuning atau kad merah sekaligus terpaksa keluar dari kawasan bangku simpanan.

Peraturan berkenaan merupakan antara lima peraturan baharu yang menyaksikan barisan kejurulatihan juga boleh dikenakan kad merah sama seperti pemain di padang.

Ianya akan diguna pakai dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk tempoh tiga hingga lima bulan lagi.

Hal ini bagi memastikan kelancaran perlawanan yang lebih sistematik dan efisyen dalam sesebuah perlawanan yang sedang berlangsung.

Menurut Harian Metro, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memaklumkan semua badan induk bola sepak setiap negara wajib mengaplikasikan peraturan baharu setelah ianya diperkenalkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

“Peraturan baharu itu wajib dipraktikkan kepada badan induk bola sepak negara yang bernaung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan kita hanya menunggu surat pekeliling daripada AFC bagi melaksanakannya.

“Namun, perkara itu harus dilakukan secara berperingkat dengan memastikan pengadil perlu mengetahui secara terperinci peraturan terbabit bagi mengelak masalah lain timbul nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Difahamkan, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih  belum mengeluarkan surat pekeliling berhubung peraturan tersebut, tetapi FAM sudah sedia maklum tentang perkara berkenaan.

Terdahulu, IFAB yang bersidang awal Mac lalu memutuskan lima peraturan baharu akan diperhalusi mulai tahun ini bagi meningkatkan lagi mutu perlawanan dengan mengurangkan pembaziran masa.

Antara peraturan lain yang bakal termaktub adalah adalah benteng sepakan percuma hanya dibarisi oleh pemain lawan tanpa diganggu oleh pemain lain.

Selain itu, peraturan itu juga menyaksikan jika bola terkena tangan pemain sebelum dia melakukan bantuan jaringan kepada rakan, mata tidak akan dikira.