KEMAMAN, 10 Nov – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta persatuan bola sepak negeri tidak mengabaikan pembangunan pemain muda dalam keghairahan membeli pemain tersohor untuk membarisi pasukan masing-masing.

Katanya persatuan bola sepak negeri perlu mencontohi kelab bola sepak luar negara yang turut berfungsi sebagai “kilang” dalam melahirkan pemain berbakat sehingga muncul sebagai pemain ternama dunia.

“Mengambil pemain tersohor dunia (seperti yang dilakukan persatuan bola sepak negeri sekarang) tidaklah asing sebab dalam liga-liga besar di England dan Sepanyol juga mereka lakukan perkara serupa.

“Tetapi pada masa sama saya minta persatuan bola sepak negeri supaya tidak mengabaikan program pembangunan pemain,” katanya mengulas senario persatuan bola sepak negeri yang kini rancak membeli pemain bagi menghadapi saingan liga musim depan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Netbook 1 Malaysia Fasa 3 untuk pelajar sekolah menengah Parlimen Kemaman, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, pada masa ini usaha membangunkan pemain muda hanya dilakukan pada peringkat pusat terutama menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Bila keadaan ini berlaku akhirnya kita berputar pemain yang sama, hari ini main untuk negeri ini, esok untuk negeri itu, lusa untuk negeri ini lagi.

“Kalau saya tidak silap dalam Piala Suzuki AFF 2010, seramai 15 pemain adalah dilahirkan menerusi Sekolah Sukan Bukit Jalil,” katanya. – BERNAMA