Jakel Trading Sdn Bhd, bakal menganjurkan Jakel Charity Run For Rohingya 2017 pada 10 Disember 2017 bagi mengutip sumbangan untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di Kem Pelarian, Bangladesh.

Jakel Charity Run ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia menyediakan dua kategori larian iaitu 10 kilometer dan lima kilometer, dibahagikan kepada kategori Terbuka Lelaki serta Terbuka Wanita.

Larian yang akan disertai 7,000 peserta itu dijangka menyumbang RM400,000 hasil pendaftaran peserta, manakala Jakel menyediakan wang tunai RM200,000 dan sumbangan penaja lain sebanyak RM100,000, bagi menyediakan kemudahan di kem pelarian di Bangladesh.

Semua hasil daripada bayaran pendaftaran acara larian itu akan disalurkan 100 peratus kepada pelarian Rohingya.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata pengurusan tertinggi Jakel akan ke Bangladesh untuk menyampaikan bantuan ini secara terus kepada masyarakat Rohingya, pertengahan Januari depan.

“Wang tunai RM700,000 itu akan digunakan bagi membina kemudahan asas, termasuk telaga, membeli air bersih dan membina tandas di kem pelarian etnik Rohingya itu.

“Selain itu, Jakel turut menyumbang barangan, termasuk 15,000 helai seluar panjang, ubat-ubatan dan tuala wanita bernilai RM300,000,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyertai acara larian itu dengan mendaftar di www.racexasia.com. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 3 Disember depan.