Connect with:




Saingan STL Champions Cup 2019 bakal menyaksikan aksi terunggul 10 pasukan tempatan dan jemputan antarabangsa bakal berentap merebut kejuaraan yang memasuki musim ketiga tahun ini.

Dengan mengekalkan format regu yang sama, STL Champions Cup akan membuka tirai bermula 22 hingga 28 Disember menyaksikan studio terkemuka dunia, Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru menjadi medan pertarungan memburu pengiftirafan.

STL Champions Cup kali ini pasti menjanjikan saingan lebih sengit dengan kehadiran empat pasukan dari negara-negara jiran. Antara wakil kelab yang mengesahkan kehadiran tersebut ialah Indonesia Garuda (Indonesia),  Singapore Lions (Singapura),  China Great Wall (China) dan Korea Haechi (Korea).

Sementara itu, enam pasukan terbaik dari STL Premier League musim ini iaitu Perak Bison (Juara), ATM Guardians (Naib Juara), Johor Tigris (Ke-tiga), Penang Black Panthers, Kelantan Warriors dan Negeri Sembilan Antlers.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, ini adalah kali kedua penyertaan dengan lebih ramai pasukan jemputan antarabangsa hadir bagi memeriahkan STL Champions Cup  berbanding edisi pertama pada 2017.“Musim kedua tahun lalu,  STL Champions Cup hanya membabitkan pasukan negara tetapi pada tahun ini kita berjaya membawa lebih ramai jagoan takraw antarabangsa hadir menghangatkan lagi gelanggang.

“ Inisiatif Astro dan PSM ini bukan saja memberi pendedahan serta meningkatkan mutu pemain tempatan tetapi saya percaya taraf dan martabat sepaktakraw melalui STL akan turut dibawa sehingga  peringkat global.

“Tontonan STL di stadiumastro.com yang disiarkan secara live streaming kepada peminat dari luar negara telah mencatat jumlah tertinggi sebanyak 1.3 Juta tontonan . Bukan saja di negara jiran malah STL mendapat liputan meluas daripada media dari Norway yang  membuat liputan mengenai sukan sepak takraw untuk saluran televisyen mereka.  STL turut mendapat perhatian daripada media-media sosial antarabangsa yang  berkongsi video aksi menarik STL di mata dunia,” katanya.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail percaya dengan peryertaan perlawanan antarabangsa seperti ini dapat memberi pendedahan kepada pemain muda tempatan dalam usaha mematangkan lagi mutu permainan.

“Kita sentiasa melakukan penambahbaikkan dalam setiap penganjuran dan aspek pembangunan pemain juga turut dititikberatkan dalam memberi pendedahan lebih kompetitif kepada pemain

“Saya mengharapkan saingan selama tujuh hari berturut-turut ini berjalan dengan lancar dan inilah masanya untuk pemain membuktikan kemampuan sebenar serta medan untuk mereka mempamerkan bakat”, kataya.

Jelasnya, biarpun tumpuan terarah kepada pasukan Indonesia, namun dia optimis pasukan negara pasti memberikan tentangan sengit terutama Juara STL Premier League musim ini, Perak Bison serta lima pasukan yang lain. Sementara itu, Penang Black Panthers juga akan turun dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan kali ketiga mereka musim ini.