Connect with:




Manchester City gah di tangga teratas liga apabila berjaya menewaskan Watford pagi tadi.

Jaringan Raheem Sterling dan Sergio Aguero menambah kelegaan City selepas gol sendiri Christian Kabasele di Eastlands.

Namun kemenangan 3-1 ke atas Watford langsung tidak diraikan pengurus City,Pep Guardiola.

Hal ini kerana beliau merasakan kepadatan jadual perlawanan bakal memberi waktu rehat yang kurang kepada pemain.

“Mereka bermain selama 11 bulan berturut-turut. Mereka perlu melindungi pemain dan memastikan pemain dapat mempamer kualiti, bukannya kuantiti. Masalah begini tidak berlaku dalam industri lain termasuk hiburan.”

“Malah jadual itu jauh berbeza dengan liga utama Eropah lain yang memilih untuk berehat sempena musim sejuk,” katanya.

Sementara itu, Guardiola menyatakan resahnya terhadap jadual perlawanan ke pihak media

“Tindakan ini akan membunuh pemain. Persekutuan tidak memikirkan soal nasib pemain tetapi mereka sebenarnya perlu berbuat demikian.

Kekecewaan Guardiola mungkin berpunca daripada kecederaan lutut yang dialami Gabriel Jesus ketika menentang Palace dan mengakibatkan penyerang City itu tidak boleh bermain selama enam minggu.

“Dia tidak boleh diturunkan untuk tempoh empat hingga enam minggu, atau mungkin lebih lagi tetapi saya harap dia boleh kembali secepat mungkin,” kata Guardiola.

Manchester City melengkapkan perlawanan keempat dalam tempoh 11 hari dan mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana dengan kelebihan 15 mata.

Sumber : Reuters

Foto Kredit : Twitter (@GuardiolaTweets)