Connect with:




 

Atlet baling tukul besi lelaki negara, Jackie Wong Siew Cheer baru sahaja berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan miliknya sendiri ketika Kejohanan Olaharaga Asia di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar semalam.

Atlet berusia 27 tahun itu berjaya melakukan balingan sejauh 67.01m sekali gus berjaya mengatasi rekod kebangsaan lama miliknya iaitu 66.01m yang dilakukan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia tahun lepas. Bagaimanapun, catatan tersebut tidak dapat menghadiahkan pingat untuk negara, apabila Jackie sekadar menamatkan saingan di tempat kelapan.

Pingat emas acara itu dimenangi atlet dari Tajikistan, Dilshod Nazarov dengan jarak balingan 76.14m dan diikuti atlet tuan rumah, Ashraf Amgad El-Seify (73.76m) untuk pingat perak dan Suhrob Khodjaev dari Uzbekistan (72.85m), gangsa.

Ini adalah rekod kebangsaan yang ke-13 yang dicipta Jackie yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 sejak mengambil bahagian dalam saingan kompetitif pada tahun 2013.

Dalam kejohanan yang sama, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei terpaksa berpuas hati apabila menamatkan saingan di tempat keempat walaupun merekodkan catatan yang sama dengan pemenang pingat gangsa, Naoto Tobe dari Jepun yang mencatat 2.26m. Naoto berjaya melepasi 2.26m pada percubaan pertama manakala Hup Wei mencatatkannya pada lompatan ketiga.

Sementara itu, Nauraj Singh Randhawa hanya sekadar di tempat keenam apabila mencatatkan lompatan 2.23m yang juga merupakan catatan terbaiknya musim ini.

Acara akhir lompat tinggi lelaki berjaya diraih oleh Majdeddin Ghazal dari Syria yang merekodkan 2.31m sementara seorang lagi atlet Jepun, Takashi Eto membawa pulang pingat perak dengan catatan 2.29m.

Rekod kebangsaan dalam acara lompat tinggi ialah 2.30m milik Nauraj yang dicatat pada Kejohanan Terbuka Singapura pada 2017.

Kejohanan Olahraga Asia Edisi ke-23 ini, skuad negara hanya menghantar sembilan atlet terbaik negara. Jackie merupakan satu-satunya atlet yang berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan manakala atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamshuddin gagal mempertahankan pingat perak yang dimenanginya pada edisi lalu di Bhubaneswar, India pada 2017. –BERNAMA

Foto: Atlet Malaysia