Izazi Idam Sumbangkan Pingat Emas Buat Negara

Beraksi di laman sendiri akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penembak wanita muda negara, Nur Izazi Rosli bagi memburu pingat emas dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Nur Izazi, 17, anak jati Kuala Lumpur sah menyertai acara 10m Air Rifle individu, cenderung untuk sumbang pingat emas kerana telah menjalani latihan di lapang Sasar Kebangsaan, Subang yang menjadi venue pertandingan menembak untuk temasya dwitahunan.

“Saya banyak menyertai kejohanan di venue yang sama, jadi tekanan yang saya alami sangatlah kurang dan mampu untuk memberikan persembahan yang terbaik di laman sendiri.

“Tambahan juga saya perlu memperbaiki teknik menembak saya selain fokus kepada persediaan mental untuk menghadapi penembak dari negara lain,” kata Nur Izazi.

Di bawah pengendalian ketua jurulatih baharu, Park Sang-soon, Nur Izazi mengakui banyak perubahan yang dialami olehnya.

“Terdapat peningkatan yang besar di bawah kendalian jurulatih Sang-soon apabila jumlah mata yang saya kutip sewaktu latihan semakin baik dan mendapat latihan intensif selama enam minggu di Korea Selatan Jun lalu secara tidak langsung telah membantu saya,” jelas Nur Izazi pemenang pingat gangsa dalam acara 10m Air Rifle pada kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-41 di venue sama, Mei lalu.

Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) telah memilih Nur Izazi dan Shahera Rahim Raja bagi acara 10m Air Rifle Individu Wanita, bagi menggantikan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli telah digugurkan atas faktor disiplin.