Connect with:




PROTON Iswara milik pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, N Thanabalan hilang ketika menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves Selangor, pagi ini.

Kejadian hanya disedari pada 5 pagi ketika Thanabalan mahu pulang ke rumah sebaik selesai meraikan perayaan terbabit.

“Pada mulanya saya dan keluarga bertolak dari rumah di Taman Seremban Jaya, Senawang, awal pagi sebelum tiba beberapa jam kemudian.

“Saya berada di sana (Batu Caves) kira-kira dua jam sebelum bergerak pulang ke rumah. Saya berjalan ke kereta namun terkejut apabila mendapati kenderaan itu sudah tiada.

“Puas saya bertanya orang di sana namun mereka tidak tahu, Saya terpaksa menelefon rakan untuk mengambil saya dan keluarga.

“Selepas rakan tiba, saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor untuk membuat laporan berhubung kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kereta itu adalah yang keduanya dibeli dua tahun lalu.

“Kereta itu banyak memberi tuah kepada saya. Pelbagai kejayaan peroleh sejak memakai kereta itu.

“Setiap kali menjalani latihan, saya hanya membawa kereta itu dan harap orang ramai melihatnya segera menghubungi polis,” katanya.

Sumber        : harian metro
Foto Kredit : FB pembaca