Matyo hanya perlu bayar RM 299,000.

Matyo hanya perlu bayar RM 299,000.

 
Isu bayaran penebusan kontrak bekas penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Takzim FC musim ini, telah selesai sejak 20 Nov lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan berkata ini berikutan pemain berusia 26 tahun itu telah pun menjelaskan bayaran penebusan kontrak itu seperti yang dituntut Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Beliau berkata berdasarkan rekod FAM, Norshahrul telah dua kali melunaskan
bayaran penebusan kontrak kepada KAFA berjumlah RM299,000 menerusi bank draf.

“Bayaran pertama sebanyak RM250,000 diberikan kepada KAFA pada 4 Jan 2013
dan bayaran kedua RM49,000 sehari kemudian. Kami mendapat salinan bayaran ini
daripada peguam yang mewakili Mat Yo,” katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa
dikatakan menuntut RM1 juta daripada ‘Pemain Paling Bernilai’ Liga Malaysia 2012
itu bagi menyelesaikan isu perpindahan Mat Yo ke pasukan Harimau Selatan.

Bayaran berkenaan antaranya meliputi penamatan kontrak 13 bulan lebih awal
dengan jumlah melebihi RM300,000, pinjaman mudah diberikan KAFA kepada Mat Yo serta kerugian akibat penarikan diri penajaan pasukan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata KAFA tidak mempunyai hak menuntut
bayaran perpindahan kerana berdasarkan peraturan FAM, seseorang pemain yang
menamatkan kontrak sebelah pihak hanya perlu menjelaskan bayaran penebusan
kontrak.

“KAFA hanya berhak menuntut bayaran penebusan kontrak selama 13 bulan dan
kami tidak membenarkan KAFA menuntut bayaran perpindahan kerana ia bukan
melibatkan perpindahan tetapi lebih kepada penamatan kontrak.

“Kami juga tidak akan mengiktiraf sekiranya wujud perjanjian lain antara
bekas pemain dengan majikannya tanpa merujuk kepada FAM seperti dalam kes MatYo ke rana ia di luar bidang kuasa kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata pihaknya telah mengarahkan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membayar sagu hati (ex-gratia) berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) kerana mendapatkan khidmat bekas pemain Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat yang berasal dari Terengganu.

“Bayaran perlu dijelaskan kepada PBSNT dalam tempoh sebulan atau kita akan
memotong geran tahunan yang diberikan kepada ATM bagi menyelesaikan masalah
ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata PBSNT tidak mempunyai hak memaksa pemain
berusia 24 tahun itu beraksi bersama Terengganu walaupun peraturan FAM
menetapkan mana-mana bekas pemain Harimau Muda A perlu kembali semula ke negeri asal masing-masing.

“Dalam kes ini, beliau (Mohd Affize) tidak berminat beraksi bersama Terengganu sebaliknya berminat mewakili pasukan yang menawarkan kontrak kepadanya iaitu ATM,” katanya.

Mohd Affize yang menandatangani kontrak bersama ATM, sebelum ini mendakwa
beliau tidak boleh beraksi bersama pasukan baharunya selepas PBSNT tidak
mengeluarkan surat pelepasan negeri (SPN).

Takiyuddin berkata jawatankuasa berkenaan turut mengarahkan Persatuan Bola
Sepak Negeri Johor (PBNJ) membayar pampasan latihan dan pendidikan berjumlah
RM15,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana mendapatkan khidmat
bekas pemain Harimau Muda B, Muhammad Akram Mahinan yang berasal dari Kedah.

Pemain berusia 21 tahun itu dilepaskan oleh Harimau Muda B dan beliau
dikatakan menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan Johor Darul Takzim FC musim ini. – BERNAMA