Connect with:




Ketika negara masih memperkatakan tentang pingat yang dimenangi Malaysia di temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018, timbul pula isu mengenai doping yang melibatkan atlet negara.

Hal ini kerana, salah seorang atlet negara dilaporkan positif dalam ujian doping. Lebih menyedihkan, atlet yang terlibat merupakan penyumbang pingat dan kemungkinan pingat akan ditarik balik jika terbukti bersalah.

Sebenarnya, isu doping bukanlah perkara baru dalam pentas sukan di negara kita. Sebelum ini banyak juga kes yang melibatkan atlet negara positif dalam ujian doping sehingga memburukkan nama Malaysia di mata dunia.

Tak dinafikan bahawa Malaysia mempunyai atlet-atlet yang bertaraf dunia contohnya Azizulhasni Awang, Hafizh Syahrin, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David dan ramai lagi.

Namun, di sebalik kejayaan atlet-atlet Malaysia ini pasti akan tercalar dengan isu doping di mana atlet tidak lepas ujian doping. Persoalannya, di mana silapnya?

Adakah pihak yang berwajib tidak melakukan ujian secara menyeluruh? Perkara yang melibatkan dadah atau penggunaan bahan terlarang seharusnya diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan imej negara.

Bagi mengatasi masalah ini, pihak yang berwajib bersama-sama atlet haruslah bekerjasama dengan melakukan ujian doping untuk memastikan atlet negara bebas daripada isu doping.

Ujian doping harus dilakukan sepanjang masa dan tidak tertumpu pada perlawanan berskala besar sahaja bagi mewujudkan pertandingan yang sihat dan adil.

Sememangnya penggunaan bahan terlarang akan memberikan sedikit kelebihan kepada seseorang atlet itu. Antara dadah popular yang sering digunakan ialah ‘Anabolics Steroid’, bahan untuk menguatkan otot dan kebiasaannya diambil oleh atlet lontar peluru dan pelari pecut.

Tetapi, ada juga atlet menembak yang menggunakan bahan tersebut untuk mengurangkan pergerakan tangan ketika memetik picu.

Selain itu, dadah seperti ‘Deuretics’ diambil untuk mengurangkan jumlah air dalam badan sekali gus meringankan berat badan.

‘Sibutramine’ adalah sejenis dadah yang digunakan untuk mengawal selera makan dan mungkin ini mendorong atlet Malaysia mengambil bahan terlarang tersebut untuk mengekalkan berat badan mereka.

Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk atlet sewenang-wenangnya mengambil bahan terlarang agar berjaya di setiap kejohanan kerana salah tetap salah.

Kini, sekali lagi Malaysia dipalit isu doping apabila pemenang pingat gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast baru-baru ini dilaporkan positif ujian doping dan jika didapati bersalah pingat itu akan ditarik balik.

Antara nama-nama besar yang pernah didapati positif doping ialah, Datuk Lee Chong Wei (badminton), Sazali Samad (angkat berat), Wandy Ng Yan Yee (terjun), Hafifi Mansor (angkat berat), S. Kumar (hoki), Rafi Manaf (muay thai) dan ada beberapa atlet lagi.

Jadi sampai bila negara kita hendak menanggung malu isu doping yang dilakukan oleh atlet-atlet kita? Pesanan kepada para atlet di luar sana, bersainglah secara sihat dan adil.

Foto Kredit : sportschau(dot)de