wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa membuka pintu kepada kelab-kelab sukan di negara ini yang ingin mendapatkan khidmat sokongan sains dan perubatan sukan dalam usaha mencungkil bakat baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya sedia
memberi khidmat sokongan daripada pelbagai aspek sains sukan melalui pendekatan saintifik seperti penyesuaian fizikal, pemakanan dan perubatan sukan.

“ISN bersikap terbuka dan sedia memberi nasihat dan khidmat kepakaran sains
dan perubatan sukan kepada kelab-kelab termasuk kelab rekreasi yang memerlukan
kepakaran kita.

“Dalam hal ini, kita tiada halangan untuk membantu dan mereka boleh datang
dan berunding (dengan ISN)…kita akan salurkan mereka kepada pakar-pakar
tertentu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Shapawi berkata keutamaan ISN dalam memberi khidmat
kepakaran berhubung sains dan perubatan sukan itu adalah kepada sukan
berprestasi tinggi.

Beliau berkata penekanan terhadap sains dan perubatan sukan itu adalah
penting untuk membina kekuatan bagi meningkat keupayaan serta prestasi seseorang atlet untuk bersaing.

“Jika kita mempunyai masa dan tenaga yang lebih serta tidak bertindih dengan
tumpuan terhadap pembangunan sukan berprestasi tinggi, kita sedia membantu
(dalam aspek sains dan perubatan sukan)…itu kepakaran yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata ISN juga menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan
(KBS) yang sedia membantu kelab badminton untuk mencungkil bakat baharu dan
melahirkan pemain pelapis bagi menerajui cabaran negara di persada antarabangsa.

Ahmad Shapawi berkata sebagai agensi yang mempunyai kepakaran dalam aspek
sains sukan, ISN amat menggalakkan kelab berkenaan menggunakan kaedah saintifik dalam mencungkil bakat baharu dan ia selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk melahirkan atlet pelapis negara.

“Sebelum ini pun, kita telah memberi khidmat sains dan perubatan sukan bukan
sahaja kepada Kelab Nusa Mahsuri tetapi kepada kelab lain seperti skuasy dan
gimnastik.

“Malah, baru-baru ini empat pelumba motor berkuasa tinggi yang ingin
mengelilingi dunia datang meminta nasihat daripada kita berhubung kaedah
pemakanan dan sebagainya…kita bantu,” katanya.

Beliau berkata jurulatih atau pengendali kelab atau akademi sukan seperti
bola sepak juga digalakkan mendalami aspek sains perubatan dan teknologi sukan
untuk melahirkan bakat baharu dalam sukan bola sepak.

“Mereka (jurulatih) memberi tunjuk ajar berdasarkan kecenderungan
kanak-kanak ini untuk bermain bola sepak serta berdasarkan bayaran daripada ibu
bapa kanak-kanak terbabit sedangkan kanak-kanak ini berpotensi untuk menceburi
sukan lain.

“Jadi, kita galakkan mereka menggunakan proses yang betul seperti mengadakan
ujian fizikal dan modul-modul tertentu dalam menguji bakat kanak-kanak ini.

“Kita ada kepakaran dalam memberi pandangan yang saintifik mengenai
keupayaan seseorang kanak-kanak itu. Kita boleh tahu potensi mereka dan daripada
situ, kita boleh kembangkan bakat yang ada pada kanak-kanak ini,” katanya – BERNAMA