Connect with:




Institut Sukan Negara (ISN) bakal menjalin kerjasama penyelidikan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi merancakkan lagi kemajuan sukan negara.

Selaras dengan fungsi yang termaktub dalam AKTA ISN 2011 menyatakan antaranya adalah untuk menjalankan dan menyelaraskan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang sains sukan, perubatan sukan dan bidang lain yang berkaitan yang difikirkannya perlu.

Penyelidikan merupakan salah satu fungsi utama yang dijalankan oleh ISN di mana ia turut melibatkan kolaborasi dengan universiti dalam dan luar negara. Secara keseluruhanjumlah kajian penyelidikan pada tahun 2018 adalah sebanyak 32 projek penyelidikan (28 bersama universiti dalam negara, 3 bersama universiti luar negara dan 2 projek dalaman ISN).

Di samping itu pihak ISN juga telah berjaya menghasilkan 14 penerbitan artikel jurnal dan 13 prosiding persidangan antarabangsa bagi tahun 2018.

Dalam usaha memperkasakan penyelidikan ISN sebagai teras, ia turut memerlukan fasiliti penyelidikan yang berkualiti serta menepati piawaian standard bagi memenuhi objektif kajian yang ditetapkan.

Justeru itu, sebanyak 7 buah makmal telah dibangunkan di dalam premis ISN seperti berikut :

  1. Makmal Hydrotherapy
  2. Makmal Human Movement
  3. Makmal Applied Physiology
  4. Makmal Environmental and Altitude Chamber
  5. Makmal Whole Body Cryotherapy
  6. Makmal LC-MS/MS
  7. Makmal Biochemistry

Tujuan makmal-makmal ini diwujudkan bukan sahaja untuk tujuan penyelidikan tetapi ia juga berperanan untuk menjalankan proses intervensi, pemulihan (recovery) dan rehabilitasi bagi meningkatkan prestasi atlet ke tahap optimum.

UiTM merupakan satu universiti yang mempunyai kepakaran multi-disiplin dalam bidang sains dan teknologi yang berpotensi untuk membantu ISN sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam mempertingkatkan prestasi atlet negara.

Selari dengan permodenan industri sukan negara, penggunaan sains, perubatan dan teknologi sukan adalah penting bagi meningkatkan prestasi atlet negara. Mengakui kepentingan ini, ISN mengadakan perbincangan bersama UiTM untuk mewujudkan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan penyertaan kedua-dua pihak.

Kerjasama antara kedua pihak yang paling utama adalah dalam bidang penyelidikan dan secara khususnya dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan kedua-dua pihak yang diadakan di Ibu Pejabat ISN pada 5 Mac 2019. Dalam perbincangan itu, ISN diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Ahmad Faedzal Md. Ramli, manakala pihak UiTM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan) UiTM dan juga Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara, Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad.

ISN berharap agar inisiatif kerjasama ini dapat memacu agenda mengukuhkan dan memartabatkan sukan negara.