Connect with:




“Saya lihat prestasi Iskandar semakin memberangsangkan dan saya sangat berharap agar rentak itu dapat diteruskan, mungkin juga dia akan diturunkan esok tetapi belum diputuskan,” kata ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengenai perkembangan Iskandar Zulkarnain baru saja tiba dari India, semalam.

Lagenda itu berkata bakal menurunkan Iskandar Zulkarnain selaku perseorangan ketiga menjelang aksi pembukaan Kejohanan Berpasukan Asia menentang Thailand esok.

Menurutnya, walaupun masih belum membuat sebarang keputusan muktamad siapa yang akan diturunkan selaku perseorangan ketiga bagi perlawanan sulung di Stadium Sultan Abdul Halim esok, namun beliau seakan memberi bayangan awal bahawa Iskandar Zulkarnain bakal turun ke gelanggang.

Jelasnya, bukan hanya Iskandar Zulkarnain saja berada dalam prestasi terbaik namun semua pemain perseorangan lelaki yang dibawa dilihat bersedia menggalas tanggungjawab esok.

Iskandar memberikan permainan terpuji di Terbuka India minggu lalu apabila mara ke undian utama selepas mengetepikan dua wakil tuan rumah pada pusingan kelayakan sebelum menundukkan Emil Holst (Denmark) di pusingan pertama, memalukan K Srikanth (pusingan kedua) dan Sameer Verma (suku akhir).

Bagaimanapun, pada separuh akhir dia tumpas kepada Shi Yuqi dari China namun tetap mendapat pujian kerana bermain bermati-matian sebelum tewas 21-18, 10-21, 19-21.

“Saya anggap ketiga-tiga pemain perseorangan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan pasukan dalam aksi menentang Thailand kerana peluangnya saya lihat 50-50,” katanya.

Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia dilihat tidak berdepan masalah mengisi slot perseorangan pertama dan kedua untuk perlawanan esok.

Menjadi persoalan sekarang sama ada Misbun bakal menurunkan Iskandar Zulkarnain ataupun Soong Joo Ven selaku perseorangan ketiga yang bakal memainkan peranan penting seandainya kedudukan terikat 2-2.

Selain Thailand, Malaysia turut diundi bersama Taiwan dan Myanmar dalam Kumpulan C.

Sumber: Harian Metro

Foto kredit: bp.blogspot.com