Connect with:




Berita mengenai keputusan pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) penghujung tahun ini mengejutkan ramai pihak terutama barisan kejurulatihan dan rakan-rakan sepasukan beliau.

Hal ini terjadi apabila juara kebangsaan itu itu tanpa sebarang petunjuk dengan secara tiba-tiba menyuarakan hasratnya kepada Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Namun begitu Iskandar tidak menunggu lama untuk tampil menjelaskan sebab di sebalik keputusan mengejut yang diambil adalah kerana mahu mencapai impiannya untuk beraksi di Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain memilih untuk bermain tanpa sebarang tekanan.

“Saya kekal dengan pendirian ini dan sebulat suara untuk meninggalkan kem kebangsaan namun karier sebagai pemain profesional akan saya teruskan. Hujung tahun ini saya akan menghantar surat kerana saya perlukan sedikit masa untuk mencari penaja.

“Sebahagian sebab saya mengambil keputusan ini adalah untuk mencapai sasaran utama beraksi di Olimpik dan bermain lebih tenang. Saya fikir dengan cara ini saya boleh lebih fokus,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Selain itu, faktor lain yang turut mempengaruhi keputusan paling sukar yang diambil Iskandar adalah aksi tidak konsisten yang ditampilkan dalam beberapa kejohanan terdahulu menguatkan lagi keazamannya untuk mencari angin baru.

“Tipu jika saya cakap perkara (tidak konsisten) tersebut tidak mempengaruhi saya kerana kebanyakan pemain sudah tahu kelemahan saya. Bagaimanapun semua tu telah saya ubah dan akan terus berjuang setelah bergerak secara bebas kelak,” tambahnya lagi.

Pada masa sama Iskandar memberitahu bahawa beliau telah memohon maaf kepada ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, yang menyatakan kekecewaan serta terkilan dengan tindakannya membuat keputusan tanpa melakukan sebarang perbincangan.

“Saya sudah memohon maaf kepada beliau dan saya tidak mahu ulas panjang hal itu kerana ianya antara kami berdua. Keputusan ini bukanlah mudah, lebih-lebih lagi saya sudah anggap Misbun sebagai bapa saya kerana banyak membantu ketika berada dalam kesusahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Misbun mendoakan serta berharap pemain berusia 27 tahun itu akan berubah menjadi pemain lebih baik setelah berada di luar kerana sikap serta disiplin amat penting jika mahu menjadi pemain berjaya.

“Paling penting ketika berada di luar adalah disiplin serta tahu apa kemahuan diri. Saya tidak ada masalah jika beliau mahukan nasihat daripada saya walaupun tidak berada di bawah naungan BAM lagi.

“Daripada pengamatan saya mengenai beliau, dia gagal capai potensi sebenar adalah berpunca dari sikap dan disiplin kerana itulah perkara paling penting. Saya harap dia akan berubah apabila keluar nanti,” ujarnya.

Foto : Instagram iskandar.zulkarnain91

Sumber : Bernama