Connect with:




IRONMAN Malaysia, Langkawi yang akan berlangsung 17 November ini bakal menyaksikan pertembungan dua nama yang cukup hebat dalam dunia perlumbaan endurance Malaysia iaitu Shahrom Abdullah dan Amran Ghani.

Shahrom, seorang pengusaha kedai basikal merupakan peserta terbaik Malaysia pada IRONMAN Malaysia 2017 selepas mencatatkan masa 10jam 19 minit dan 50 saat.

Anak kelahiran Kelantan ini juga pernah menjadi viral pada 2016 selepas memakai kain pelikat ketika melakukan ekspedisi menyeberangi kutub selatan.

Shahrom Abdullah

Bagi Shahrom yang sememangnya dikenali sebagai atlet terkemuka dalam acara duathlon dan powerman, dia berazam untuk terus mempertahankan status peserta terbaik Malaysia pada tahun ini.

“Kejayaan tahun lepas membuatkan saya bermotivasi untuk berlumba lagi tahun ini” katanya yang turut menjadi jurulatih untuk beberapa peserta yang menyertai IRONMAN Malaysia bersama-samanya.

“Untuk memastikan tenaga mencukupi ketika perlumbaan, saya mengambil bar dan gel tenaga namun ketika disiplin berbasikal, saya akan mengambil madu asli” tambah Shahrom.

Shahrom dijangka akan dicabar hebat bekas peserta tempatan terbaik 2014 dan 2016, Amran Abdul Ghani.

Amran, seorang pegawai bomba di Bukit Jelutong, Shah Alam terlepas perlumbaan tahun lalu kerana masih dalam proses rehabilitasi akibat satu kemalangan yang menimpanya.

Amran Ghani

“Tekanan agak tinggi buat saya apatah lagi saya pernah memenagi kategori tempatan sebanyak dua kali. Ahli keluarga, majikan dan penaja sentiasa mengharapkan yang terbaik dari diri saya.

“Untuk mengurangkan tekanan, saya akan memastikan badan mendapat rehat yang secukupknya” kata Amran.

Satu lagi kategori domestik yang mencuri perhatian ialah Best Langkawian iaitu peserta terbaik dari Langkawi. Tahun lalu, kategori ini dimenangi oleh Lim Chee Yong yang baharu sahaja selesai menyertai Kejuaraan IRONMAN Dunia di Kona, Hawaii.

Untuk edisi kali ini, Chee Yong akan beraksi dalam perlumbaan IORNMAN 70.3 Langkawi.