Connect with:




Kekalahan UAE kepada Qatar dalam aksi separuh akhir Piala Asia semalam jelas tidak menggembirakan penyokong tuan rumah.

Qatar berjaya menempah slot ke final bertemu Jepun selepas membelasah jiran mereka dengan keputusan 4-0. Perlawanan kedua-dua negara Arab ini sememangnya panas sebelum sepak mula lagi berdasarkan krisis diplomatik yang terjadi sejak 2017.

Malah, penyokong Qatar tidak dibenarkan datang ke UAE untuk menyokong pasukan mereka. Bertambah buruk, UAE membeli kesemua tiket perlawanan tersebut termasuk tiket pasukan pelawat dan mengedarkannya kepada rakyat tempatan. Ini bagi mengelakkan penyokong negara lain memberi sokongan kepada Qatar.

Semasa nyanyian lagu kebangsaan Qatar dimainkan pula, penyokong tuan rumah membuat bising dan langsung tidak menghormati pasukan pelawat.

Tindakan tersebut bagaimanapun tidak berjaya menghalang Qatar untuk beraksi sempurna menewaskan lawan mereka. Ia jelas mengundang kemarahan penyokong UAE yang berada dalam Stadium Mohammed Bin Zayed.

Paling mencuri perhatian pastinya insiden balingan kasut dan selipar yang terjadi pada minit ke 37 perlawanan. Sewktu itu, Almoez Ali meraikan jaringan kedua Qatar bersama rakan-rakan sepasukannya betul-betul di hadapan penyokong UAE.

Bukan sepasang sahaja, malah dapat dilihat lebih dari sepasang kasut dilemparkan ke arah pemain Qatar dalam video yang dikongsi seorang pengguna twitter, Jordan Gardner.

Nampaknya penyokong UAE benar-benar kaya. Kasut dan selipar dibuang begitu sahaja. Tida dapat dipastikan apakah kasut tersebut dipulangkan semula atau dikumpul untuk diletakkan dalam muzium.