PUTRAJAYA – Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, berharap pemberian insentif dan pengiktirafan  kepada atlit dan penggiat sukan institusi tinggi dapat membakar motivasi mereka untuk terus menyumbang dan cemerlang khususnya dalam pembangunan sukan IPT dan negara.

“Kementerian akan terus memberikan komitmen tinggi dalam mempertingkatkan kecemerlangan sukan dengan RM 43 juta akan disediakan untuk membiayai program pembangunan dan pembudayaan sukan IPT seperti penawaran biasiswa dan dana penyelidikan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan KPT 2011 di Hotel Marriot, disini, semalam.

“Keunggulan bakat sukan IPT kita turut terserlah dalam Sukan SEA ke-26 di Palembang apabila 75 buah pingat berjaya disumbang daripada jumlah keseluruhan pingat yang diperolehi.

Kecemerlangan atlit IPT diteruskan dalam Kejohanan Wusyu Dunia ke-11 di Turki dengan menyumbang 7 pingat kepada negara,” tambah Mohamed Khaled.

Dalam majlis ini, atlit wusyu negara, Chai Fong Ying muncul sebagai penerima terbanyak insentif dengan meraih hadiah berjumlah RM 10,000 diatas kejayaan merangkul pingat emas di Kejohanan Wusyu Dunia tahun lalu.

Atlit wanita berusia 21 tahun dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menerima wang tunai RM 7,500.00, Samsung Galaxy Tab bernilai RM2,000 dan baucer buku RM500.

Diana Bong Siong Lin, juga atlit wusyu negara menjadi individu kedua penerima terbanyak dengan jumlah hadiah bernilai RM7,000 hasil tuaian pingat perak di kejohanan sama.

Kementerian Pelajaran Tinggi telah memperuntukkan sebanyak RM236,000 sebagai insentif kemenangan sukan untuk tahun 2011 manakala untuk tahun 2012, sebanyak RM300,000 lagi akan diagihkan kepada atlit yang berjaya melakar kemenangan.

Dalam majlis sama, Khaled Nordin turut melancarkan Jurnal Sukan KPT dan menyampaikan Geran Penyelidikan Sukan serta Biasiswa Sukan KPT.