Connect with:




Kerajaan negeri Terengganu memberikan insentif RM20,000 kepada jaguh basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang di atas kejayaannya meraih tiga pingat pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang lalu.

Tiga pingat yang diraih “The Pocket Rocketman” adalah emas menerusi acara pecut, perak untuk acara berpasukan dan gangsa dalam acara keirin.

Menurut laporan akhbar Kosmo! hari ini, insentif kemenangan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

“Sejak dari awal penglibatan dalam sukan berbasikal, kerajaan negeri Terengganu sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang karier saya hingga berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dalam sukan ini.

“Diharapkan kehadiran saya pada majlis ini mampu menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat buat atlet Sukma (Sukan Malaysia) Terengganu yang bakal mengharungi kejohanan Sukma 2018”, katanya selepas majlis penyerahan insentif tersebut di Stadium Tertutup Gong Badak  malam tadi.

Pada masa yang sama, turut berlangsung majlis penyerahan bendera oleh kerajaan negeri Terengganu buat kontinjen Sukma Terengganu yang membawa seramai 555 atlet bertanding.