Connect with:




Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 boleh dilabel antara final yang cukup klasik untuk dingati zaman berzaman.

Sebelum sepak mula lagi, bahangnya terasa selepas timbul isu agihan tiket yang jelas tidak disenangi ramai peminat.

Tiba hari perlawanan, lebih 70000 penonton yang hadir di stadium disajikan aksi yang menarik, bertenaga dan mendebarkan.

Terengganu FC yang mendahului babak pertama hasil kesilapan pertahanan lawan menerusi dua jaringan Kipre Tchetche dilihat semakin selesa untuk terus mempertahankan kedudukan pada babak kedua.

Namun kebangkitan Perak yang menjaringkan dua gol pada babak kedua termasuk gol yang mengheret perlawanan ke tambahan masa jaringan Brendan Gan berjaya membangkitkan semangat penyokong Kejor Yob Kejor di Shah Alam.

Aksi di atas padang turut hangat dengan pergaduhan pemain dan kekasaran hingga menyebabkan kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain.

Jaringan Faiz Nasir seperti sudah melenyapkan harapan Perak namun inilah bolasepak, selagi wisel tidak ditiupkan, tidak ada jaminan kemenangan untuk diraikan. Malatepaka TFC bermula dengan jaringan sendiri Igor Zonjic pada penghujung masa tambahan.

Tidak ada apa yang mampu menghalang momentum Perak dalam penentuan sepakan penalti. Hafizul Hakim yang goyah melakukan kesilapan pada babak pertama sehingga terpaksa ditenangkan rakan rakan sepasukan muncul wira selepas menyelamatkan 3 sepakan Terengganu.

Mehmet Durakovic sekali lagi menjulang kejuaraan, kali ini dengan pasukan berbeza. Malam tersebut adalah malam yang indah untuk skuad Seladang yang akhirnya menamatkan kemarau 18 tahun kejuaraan.

Buat Terengganu, rezeki masih belum berpihak kepada mereka namun secara keseluruhan, mereka mengecapi musim yang membanggakan.

Hanya ada satu kekurangan pada aksi final semalam iaitu mutu prngadilan. Selebihnya, final Piala Malaysia 2018 akan dikenang zaman berzaman sebagai final yang penuh epik dan dramatik.