Connect with:




Namanya mungkin tidak sepopular bintang gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi atau atlet terjun negara, Leong Mun Yee namun Chin Mei See mempunyai pencapaian tersendiri yang cukup membanggakan.

Berusia 41 tahun, Mei See merupakan satu-satunya wanita dari Malaysia yang beraksi di Kejuaraan Ironman Dunia 2019 di Kona, Hawaii, Oktober lalu selain merupakan peserta terbaik wanita selama 4 tahun berturut-turut.

Beliau layak beraksi di Kona selepas menduduki tempat pertama kategori umurnya di Ironman Gurye, Korea.

Bekerja sebagai seorang jurutera, Mei See menyifatkan pengalaman beraksi di Kona adalah satu perkara terbaik pernah terjadi buat dirinya.

“Sebaik kaki menjejakkan kaki di Big Island, perasaan gembira dan teruja tak lagi dapat disimpan. Semangat kekeluargaan (Aloha) dirasai dari mula apabila disambut kakitangan lapangan terbang dan pegawai immigresen.

“Hawaai sangat magikal. Pantainya cukup indah”.

Menamatkan perlumbaan di tangga ke-60 dalam kategori umurnya menerusi catatan masa 12 jam 8 minit 6 saat, Mei See sebenarnya tidak begitu berpuas hati dengan prestasinya di Hawaii.

“Sasaran saya sebenarnya adalah menduduki kedudukan 40 terbaik. Musim ini memang bukan prestasi terbaik saya. Apa yang saya boleh belajar adalah sentiasa pastikan kecederaan saya pulih sepenuhnya.

Bercerita mengenai bagaimana beliau boleh jatuh cinta dengan perlumbaan Ironman ini, Mei See mengatakan semuanya bermula pada 2011 ketika beliau menyertai acara triathlon Olympic Distance (OD) Tasik Kenyir.

“Renangan saya sangat perlahan. Begitu juga ketika mengayuh basikal. Ketika disiplin berlari, sebahagian besar saya hanya berjalan.

“Kemudian saya dapat tahu mengenai perlumbaan Ironman dari rakan saya. Sewaktu itu, saya fikir berenang 3.8 km, kayuh basikal 180km dan maraton 42km adalah satu perkara gila yang tak mungkin manusia dapat lakukan.

“Bagaimanapun cerita-cerita yang dikongsikan rakan-rakan memberi inspirasi saya untuk menyertai pada edisi 2015.

Tambah Mei See, keputusan untuk menyertai Ironman benar-benar mengubah kehidupan seharian.

“Ketakutan Did-Not-Finish membuatkan saya sangat serius dan berdisiplin dalam latihan. Jika sebelum ini saya seorang suka berjaga malam, saya bertukar menjadi morning person untuk berlatih.

Mei See kini mengalihkan perhatiannya kepada tahun 2020 dengan matlamat utama wanita kelahiran Perak ini adalah menamatkan IRONMAN Malaysia tahun hadapan dengan catat dibawah 11 jam.

Mei See turut berkongi nasihat kepada mereka yang turut memasang impian untuk beraksi di Kona.

“Bagus untuk anda melihat catatan 5 peserta terbaik dalam kategori umur di sekitar rantau Asia. Catatan mereka adalah benchmark untuk anda kejar. Jika jurang masih jauh, anda perlu bersabar dan jadikannya sebagai matlamat jangka panjang”.

Kredit Foto: Finisher Pix