Connect with:




Pengakhiran penuh dramatik Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 berpihak kepada juara bertahan, Penang Black Panthers setelah pencabar utama, ATM Guardians terpaksa melupakan impian merampas trofi kejuaraan apabila tunduk dengan keputusan 2-1 ( 21-17, 14-21,  21-18) di tangan Kuala Lumpur (KL) Thunder dalam perlawanan terakhir minggu ke lapan di Gem In Mall, Cyberjaya, semalam.

Kekalahan 2-1 di tangan Terengganu Turtles pada Sabtu tidak mematahkan semangat KL Thunder yang mengembalikan gandingan apit kiri kebangsaan, Amirul Zazwan Amir berserta Norhafizi Razak dan tekong, Aizat Azmi bagi menggalas misi menafikan kejuaraan buat ATM Guardians yang membariskan Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Muhaimi Che Bongsu dan Norfaizzul Abdul Razak.

Set pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua regu mempersembahkan aksi berkejaran mata sebelum kesilapan servis Hairul Hazizi disertakan libasan kencang Norhafizi membolehkan KL Thunder mendahului dengan kedudukan 12-10.

Menyedari keadaan sedikit tegang, ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, meminta ‘time out’ bagi merangka semula strategi yang dilihat sedikit goyah.

Tekanan tampak meningkat buat regu ATM Guardians setelah dua kesilapan tekong kebangsaan, Hairul Azizi  yang melakukan servis keluar gelanggang dan sangkut di jaring memastikan KL Thunder kian selesa mendahului 17-13.

KL Thunder memastikan set pertama menjadi milik mereka apabila umpanan cantik Amirul Zazwan disudahkan dengan libasan gulung tekong, Aizat bagi menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17.

Kebangkitan yang cuba ditunjukkan ATM Guardians yang pada suatu ketika mendahului 3-0 menerusi libasan Muhaimi diawal set pertama nyata tidak mampu merentap semangat anak buah Azhar Sarabini yang bangkit mengikat kedudukan menerusi libasan kencang apit kanan kebangsaan, Norhafizi.

Aksi di Gem In Mall bertambah menarik apabila kedua-dua pasukan sekali lagi memperagakan aksi berkejaran mata sebelum variasi servis Hairul Azizi berjaya membuka jurang kepada 13-11 bagi menghidupkan semula perjuangan ATM Guardians untuk membawa perlawanan ke set penentuan.

Tiga libasan kencang Muhaimi yang gagal dinafikan pertahanan lawan membuktikan beliau semakin bersedia menghidupkan peluang buat ATM Guardians yang selesa mendahului 19-14 sebelum libasan terakhir apit kiri KL Thunder, Amirul, di mata penamat memastikan ATM Guardians menang set kedua 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung dengan jalan cerita yang sama apabila kedua-dua regu enggan memberikan tunduk dengan mudah dan terus berkejaran mata sebelum Aizat membuka jurang 10-6 menerusi servisnya.

ATM Guardians berjaya merapatkan kedudukan 17-19 setelah servis  kencang Aizat kandas di jaring sebelum ketua jurulatih KL Thunder meminta ‘time out’.

Berpunca dari kesilapan mengangkat bola melepasi jaring yang dilakukan Norfaizul dihukum serta merta Aizat menerusi satu libasan gulung bagi menoktahkan misi kejuaraan buat ATM Guardians dengan keputusan 21-18.

Mengakui rezeki dan nasib tidak berpihak kepada regunya, tekong ATM Guardians, Hairul Azizi berkata beliau serta rakan-rakan telah memberikan yang terbaik untuk menundukkan KL Thunders.

“Kami gagal menangani tekanan dengan baik dan saya mengaku tidak beraksi pada prestasi terbaik terutama di set pertama.

“Insya-Allah kami akan perbaiki segala kekurangan yang ada setelah kembali beraksi dalam Piala Juara-Juara,” jelas Hairul Azizi.

Tunduknya ATM Guardians 1-2 di tangan KL Thunder membolehkan Penang Black Panthers yang menjinakkan Melaka Titans 2-0 menjulang trofi kejuaraan STL musim ini dengan mengumpul 30 mata menerusi 15 kemenangan sementara ATM Guardians dinobat selaku naib juara dengan 28 mata dan diikuti KL Thunder yang mengumpul 24 mata di tangga ketiga.

 

Foto : Facebook Sepak Takraw League

Sumber : Stadium Astro (Farizal Yusoff)