Connect with:




Selepas menjadi juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, kontinjen Terengganu dilihat mengambil langkah awal dalam memperkukuh kedudukan sebagai kuasa sukan negara apabila mula merangka persediaan awal dalam misi mempertahankan kejuaraan pada Sukma 2020 yang akan berlangsung di Johor nanti.

Menurut laporan akhbar Kosmo!, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan persatuan sukan serta barisan atlet negeri itu agar tidak dibuai kejayaan merampas kembali kejuaraan keseluruhan pada Sukma 2018 di Perak yang berakhir Sabtu lalu.

“Kita memberikan cuti kepada semua pegawai dan atlet pada esok (semalam), apabila kembali dari cuti semua akan kembali berkerja bagi merangka rancangan dan persediaan baru untuk menghadapi Sukma Johor nanti.

“Separuh dari atlet yang mewakili negeri kita (Terengganu) pada Sukma 2018 baru-baru ini masih boleh beraksi pada temasya akan datang dan ianya bonus untuk kontinjen kami,” ujarnya yang ditemui selepas majlis sambutan meraikan kepulangan Kontinjen Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Samiun Salleh.

Seramai 800 atlet dan pegawai dibawa berarak menaiki bas sejauh lebih 40 kilometer dari matang ke Hulu Terengganu.

Ahmad Samsuri memberitu, bahawa kerajaan negeri amat komited dalam melahirkan atlet bertaraf kebangsaan dan antarabangsa serta menegaskan kerajaan negeri akan memberikan sepenuh sokongan terhadap pembangunan atlet di Terengganu.

Menurutnya lagi, pihak kerajaan negeri bukan saja membantu dari segi pembangunan kemudahan dan penggunaan teknologi malah jika ada atlet berpotensi tinggi, pihak kerajaan negeri akan membiayai atlet tersebut untuk menjalani latihan di luar negara bagi meningkatkan prestasi mereka.

“Kami sangat berpuas hati dengan pencapaian kontinjen Terengganu yang mencapai misi membawa pulang kejuaraan keseluruhan berjaya direalisasikan dengan jayanya, mengulangi pencapaian cemerlang kontinjen negeri itu pada 2008 hingga 2012.

“Sebagai tanda menghargai penat lelah atlet, pihak kerajaan negeri telah meluluskan insentif RM1.1 juta sebagai imbuhan buat 160 atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa pada Sukma 2018,” ujarnya.

Pada masa yang sama Ahmad Samsuri turut mengumumkan imbuhan tambahan iaitu pakej mengerjakan ibadah umrah buat Olahragawati Sukma 2018, Azreen Nabila Alias.

Beliau turut mengumumkan 30 September ini merupakan cuti pelepasan khas sebagai tanda kesyukuran serta meraikan kejayaan membanggakan kontinjen Terengganu.