Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) lulus ujian doping sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak lama lagi.

Hasratnya untuk beraksi pada temasya tersebut termakbul sekaligus menjadikan beliau Menteri Kabinet pertama menyertai temasya tersebut.

Perkara tersebut telah disahkan oleh Penolong Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar.

Menurutnya, KJ merupakan antara 400 atlet negara yang berjaya lulus ujian tersebut untuk layak bertanding di Sukan SEA.

“Kami dengan gembiranya ingin mengumumkan seramai 400 atlet negara lulus ujian doping termasuk KJ.

“ADAMAS berasa lega apabila program kesedaran yang dijalankan sejak tahun lalu membuahkan hasil, memastikan atlet kebangsaan bebas pengaruh dadah,” katanya.

Nishel berkata, melalui ujian tersebut pihaknya mendapati tiada atlet kebangsaan didapati positif doping sejak Januari lalu termasuk KJ yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Temasya dwitahunan itu bakal berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos depan. Pada Sukan SEA itu yang merupakan kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah, Khairy akan terlibat dalam acara polo.

Beliau malahan pernah aktif mewakili pasukan Jogo Polo ketika menyertai Kejohanan Polo Terbuka Malaysia 2016 menentang pasukan Amax Polo di Taman Ekuestrian Putrajaya dekat sini.

Sukan berkuda itu turut diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya dan dipertandingkan semula selepas kali terakhir pada Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.