Connect with:




Stadium Nasional Singapura menyaksikan seramai 103,340 kehadiran dalam tempoh dua hari sepanjang berlangsungnya International Champions Cup (ICC2019) yang menampilkan 4 kelab ternama Eropah – Manchester United, Inter Milan, Juventus dan Tottenham Hotspur.

Rekod kehadiran tersebut berjaya memadamkan jumlah kehdiran yan dicatatkan pada 2017 iaitu pertemuan Chelsea menentang Bayern (48522) serta tahun lalu antara Arsenal dengan PSG (50308). Singapura juga bertuah pada tahun ini dimana peminat dapat menyaksikan bintang-bintang baharu yang ditandatangani pasukan seperti Wan Bissaka, Mattijs De Ligt dan Tanguy Ndombele.

Pelbagai aktiviti sampingan telah diadakan sepanjang minggu kejohanan yang bermula pada 17 Julai dimana Singapura menjadi tumpuan ribuan peminat bolasepak dari seluruh Asia Tenggara terutamanya dari Indonesia dan Malaysia. Sesi latihan pasukan yang diadakan di Stadium Bishan dan Stadium Nasional dipenuhi ramai peminat yang hadir untuk melihat sendiri bintang-bintang ternama mereka menjalani sesi latihan.

Bagi dua kelab Itali iaitu Inter Milan dan Juventus, ICC2019 menjadi pentas awal mereka yang menggunakan khidmat pengurus baharu iaitu Antonio Conte dan Maurizio Sarri. Kelompok peminat dua kelab Itali ini sebahagian besarnya hadir dari Indonesia yang sememangnya fanatik terhadap Serie A berbanding liga-liga utama Eropah yang lain.

Manchester United seperti biasa masih unggul dalam menarik kehadiran ramai walaupun prestasi The Red Devils musim lalu sedikit menegcewakan. Ole Gunnar Solskjaer yang menjaringkan gol buat United ketika membelasah Singapura 8-1 pada 2001 kali ini hadir sebagai pengurus.

Percaturan Ole menurunkan bintang baharu, Aaron Wan Bissaka ketika bertemu Inter Milan ternyata membuatkan seluruh stadium teruja menerusi larian deras yang ditunjukkan pemain tersebut. Bagaimanapun insiden cemuhan penyokong terhadap Ashley Young sedikit mengecewakan Ole namun bagi pengurus kelahiran Norway itu sangat gembira melihat stadium dipenuhi dengan lautan merah umpama mereka sedang beraksi di Old Trafford.

Paul Pogba menjadi antara bintang tumpuan utama di Singapura di sebalik desas-desus bakal berhijrah ke Real Madrid. Jaringan tunggal dari Mason Greenwood berjaya memberikan kemenangan 1-0 buat Manchester United dalam perlawanan tersebut. Bagi Inter pula, kekalahan tersebut diterima dengan terbuka Antonio Conte yang menurunkan beberapa pemain utama seperti Ivan Perisic, Samir Handanovic dan Stefan De Vrij.

Perlawanan Juventus menentang Spurs pula boleh dikatakan lebih menarik berbanding Man Utd – Inter. Manakan tidak, Juventus menurunkan salah seorang pemain terbaik dalam galaksi selain Lionel Messi iaitu Cristiano Ronaldo. Bintang Portugal itu menjadi tumpuan baik dalam sesi latihan mahupun dalam aksi perlawanan sebenar. Setiap kali bola hinggap di kakinya, seluruh stadium bersorak.

Bagaimanapun Spurs terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Erik Lamela sebelum Gonzalo Higuain menyamakan kedudukan pada babak kedua. Mereka yang hadir di Singapura juga sangat bertuah kerana dapat menjerit ‘siii’ ketika Ronaldo meraikan jaringannya.

Kemasukan pemain baharu, Tonguy Ndombele yang beraksi buat kali pertama nyata memberi tuah buat Tottenham. Sentuhan keduanya berjaya meleretkan bola kepada Lucas Moura yang menjaringkan gol penyamaaan Spurs. Ketika perlawanan dilihat bakal berkesudahan seri untuk dibawa ke penentuan penalti, Harry Kane berjaya menjaringkan gol cantik dari tengah padang sekaligus melemaskan Wojciech Szczesny. Kemenangan 3-2 Spurs itu nyata menggembirakan Mauricio Pochettino yang turut menurunkan pemain-pemain bintang seperti Hyeung Min Son, Dele Alli, Jan Vertonghen, Mohamadao Sissoko dan Harry Winks.

ICC 2019 Singapura yang dibawakan oleh AIA ini boleh disimpulkan sangat berjaya. Singapura akan terus menganjurkannya pada tahun 2020 dengan kelab-kelab yang bertanding akan diumumkan pada pertengahan musim liga eropah. Selain Singapura, ICC 2019 turut dianjurkan di Amerika Syarikat, sekitar Eropah dan China.