Hasrat 10 individu untuk menyaksikan perlawanan kelab Eropah di ‘depan mata’ pada tahun ini, kini menjadi kenyataan setelah memenangi peraduan ‘ICC2017 Bus-Away’ yang dianjurkan oleh HyppTV.

Mereka dibawa menonton perlawanan di antara dua kelab gergasi Eropah iaitu Chelsea dan Internazionale Milano (Inter Milan) yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, sabtu lalu.

“Terima kasih HyppTV kerana memilih saya sebagai salah seorang dari pemenang peraduan. Ianya satu detik dan pengalaman yang indah kerana ini adalah pertama kali saya menjejakkan kaki ke Stadium Nasional Singapura” ujar Fatin Adibah yang turut diiringi oleh suami.

Menariknya, Setiap pemenang turut diberi keistimewaan untuk membawa seorang rakan bagi menemani perjalanan mereka ke negara jiran itu.

Mohd Fauzi Othman yang merupakan rakan kepada salah seorang pemenang begitu teruja dengan persembahan dari kelab kegemarannya, Inter Milan yang diagungkan sejak tahun 1998.

“Saya seperti berada di San Siro pada ketika ini dengan kehadiran kelompok penyokong Inter Milan.

“Terima kasih kepada pihak penganjur kerana telah menunaikan impian saya yang telah lama terbuku di hati” katanya.

Turut memeriahkan lagi suasana, rombongan tersebut disertai oleh tiga selebriti HyppTV iaitu Nazrief Nazri, Putra Amaris dan Ain Edruce yang kini sedang bergiat aktif di dalam dunia hiburan.

Mereka juga merupakan peminat fanatik the blues, kelab yang menjuarai Liga Perdana Inggeris (BPL) musim lepas.

Namun harapan Ain untuk melihat kelab kegemarannya memenangi perlawanan tersebut lebur setelah pasukan Inter Milan membenam anak buah kendalian Antonio Conte dengan jaringan 2-1.

“Walaupun pasukan kegemaran saya tidak berjaya menewaskan Inter Milan namun suasana di sini sudah cukup membahagiakan saya.

“Terima kasih kepada HyppTV dan jangan lupa untuk memperbanyakkan lagi program seperti ini!” kata Ain yang juga pertama kali menjejakkan kaki ke Stadium Nasional Singapura.