Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah memutuskan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda berjumlah RM3000 ke atas pemain import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona berkuatkuasa hari ini.

Mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pengerusinya, Datuk Mohd Taufik Abd Razak memutuskan hukuman tersebut setelah meneliti segala bukti yang dibawa kepada pihaknya namun hukuman terhadap Effa telah dikurangkan. Effa Owona disabitkan dengan tiga pertuduhan ketika aksi menentang Felda United pada Januari lalu.

Untuk pertuduhan pertama, Effa dikatakan dengan sengaja memukul belakang kepala pemain tengah, Hardi Jaafar, namun pertuduhan tersebut digugurkan oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana kesalahan tersebut tidak dapat dibuktikan.

Penyerang import sensasi Negeri Sembilan itu mengaku bersalah untuk pertuduhan kedua iaitu menarik telinga penjaga gol Felda United, Hamsani Ahmad dan telah dijatuhkan hukuman gantung dua perlawanan dan didenda sebanyak RM1000.

Dan bagi pertuduhan terakhir, pihak jawatankuasa mendapati Effa Owona telah menolak pipi pemain tengah, S. Sivanesan melalui rakaman video dan telah dijatuhkan hukuman denda RM2000 untuk kesalahan tersebut.

Hukuman terhadap Effa telah dikurangkan oleh pihak jawatankuasa kerana mereka merasakan penyerang tersebut telah membantu membawa nama Malaysia ketika aksi persahabatan pasukannya menentang pasukan dari Indonesia, Persebaya Surabaya baru-baru ini di mana dalam perlawanan tersebut Effa telah menjaringkan dua gol untuk mengikat pasukan dari Jawa Timur itu dengan keputusan 2-2.

Disamping itu, dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Haji Ednan Othman dan Penolong Setiausaha Agung FAM, Haji Ahmad Fuad Daud turut memaklumkan bahawa Tan Sri Annuar Musa sudah menjawab pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Namun, pihak jawatankuasa memutuskan untuk mengumumkan keputusan kes itu pada 4 April depan selepas memanggil Annuar Musa mengadap jawatankuasa tersebut terlebih dahulu. Annuar Musa sepatutnya mengadap jawatankuasa tersebut pada 29 Mac ini namun pihak jawatankuasa telah dimaklumkan yang beliau tidak dapat hadir atas tugas penting di Kelantan pada tarikh tersebut.