Connect with:




Belum reda isu pergaduhan dalam acara futsal dan bola sepak, Sukan Malaysia ke-19 (Sukma XIX) Perak 2018 sekali lagi terpalit kontroversi apabila tular di media sosial mengenai laporan beberapa akhbar berkenaan  isu ketidakselesaan di tempat penginapan atlet pada kejohanan dwitahunan itu.

Tampil menafikan isu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Howard Lee memberitahu bahawa beliau telah mengerah semua pegawai dan jawatankuasa penginapan SUKMA XIX Perak 2018 untuk melakukan pemantauan serta menemuramah atlet-atlet yang menginap di tempat penginapan tersebut.

“Setakat ini, atlet-atlet yang kami jumpa memberi tahu tiada sebarang masalah mengenai tempat penginapan malah ada yang menyatakan bahawa penginapan yang disediakan sudah cukup selesa.

“Kami mempunyai rakaman percakapan dari atlet sendiri malah saya ingin tegaskan di sini bahawa setiap ketua kontinjen serta pengurus pasukan telah pun kami hubungi dan masih belum ada khabar tak elok dari pihak mereka,” ujarnya kepada pemberita setelah merasmikan Perkampungan SUKMA XIX Perak di Politeknik Ungku Omar, tadi.

Jelas Howard, ketika mesyuarat bersama ketua kontinjen semalam, beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai ketidakselesaan atlet di tempat penginapan

Mengulas tindakan beberapa kontinjen yang membuat keputusan untuk menetap di hotel bajet dan rumah inap susulan kemudahan yang disediakan kurang selesa, Howard memberitahu bahawa itu adalah keputusan yang di buat kontinjen masing-masing.

“Saya difahamkan ada kontinjen yang menghadapi masalah dengan penginapan yang disediakan di Sekolah Izzuddin Shah lalu membuat keputusan untuk memilih hotel bajet dan rumah inap.

“Pihak kami tidak akan sesekali melarang kontinjen bertanding untuk menetap di hotel bajet atau rumah inap, sekiranya kontinjen merasakan mereka membawa atlet bertaraf elit dan penginapan yang ada tidak cukup selesa buat atlet mereka, itu terpulang kepada kontinjen itu sendiri malah jika ada yang ingin  menginap di luar kawasan penginapan atas alasan lain, kami sama sekali tidak menghalang,” jelasnya.