Connect with:




Jam tangan pintar atau smart watch merupakan antara gadjet yang semakin mendapat perhatian para pengguna di Malaysia.

Jenama-jenama pengeluar telefon bimbit kini berlumba-lumba dalam mengeluarkan smart watch dengan teknologi terkini bagi memastikan pengguna mendapat kepuasan maksimum ketika memakainya.

Honor, anak syarikat Huawei tidak terkecuali. Antara jam tangan pintar keluaran Honor yang popular adalah Honor Watch, Honor MagicWatch dan Honor MagicWatch 2. Terbaru, pada Oktober lalu, Honor telah melancarkan satu lagi model iaitu Honor GS Pro.

SUPER-LASAK

Dunia Sukan telah menerima seutas Honor GS Pro untuk tujuan reviu. Ketika melihat spesifikasi jam ini, satu perkataan yang boleh menggambarkan terhadap kualitinya ialah LASAK.

Ya, jam ini dilihat sangat sesuai untuk individu yang aktif melakukan aktiviti senaman dan lasak termasuk kaki-kaki hiking.

Jam tangan pintar ini telah melepasi piawaian tahan lasak MIL-STD 801G iaitu ujian teknologi terhadap barangan yang dijalankan tentera Amerika Syarikat.

Satu lagi kelebihan besar yang sukar di tandingi jenama lain adalah ketahanan baterinya iaitu boleh bertahan sehingga 25 hari dengan hanya satu pengecasan penuh!

SESUAI BUAT KAKI HIKING

Ketahanan kukuh jam ini dilengkapkan lagi dengan teknologi navigasinya yang kami fikirkan amat berguna buat para pendaki.

Fungsi ‘route back’ akan memastikan anda melalui jalan yang sama untuk pulang dari destinasi yang ditujui.

BANTU KEKALKAN GAYA HIDUP SIHAT

Umum mengetahui antara fungsi yang menjadi faktor pemilihan dalam membeli jam tangan pintar adalah fungsi kecergasan. Honor GS Pro bagi kami adalah satu gadjet yang serba lengkap dalam membantu pengguna untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

Terdapat 13 mode larian berbeza untuk yang gemarkan berlari. Selain itu, lebih 100 jenis senaman boleh dipilih pengguna termasuk renang, triathlon, menari, tinju dan banyak lagi.

Ketika melakukan senaman, paparan pada jam untuk menentukan tahap stamina pemakai adalah sangat jelas dibantu dengan penggunaan warna terang yang berbeza.

Selepas senaman, data-data yang diberikan juga sangat membantu untuk anda merekod peningkatan atau penurunan prestasi.

Jam ini juga mempunyai fungsi dalam melihat sejauh mana anda berada dalam tekanan menerusi ujian tekanan (stress test) yang dihubungkan dengan applikasi Huawei Health.

Terdapat juga ujian SpO2 iaitu ujian menilai jumlah oksigen yang mampu di tampung darah seseorang.

APA YANG KURANG?

Bagi penulis yang telah menggunakan jam ini hampir sebulan, Honor GS Pro boleh dikatakan hampir sempurna untuk penggunaan harian.

Reka bentuk menarik (anda boleh tukar watch face mengikut mood) dan fungsi yang pelbagai membuatkan penulis merasa jam tangan pintar ini adalah produk yang cukup berbaloi bagi mereka yang sedang mencari smart watch.

Namun jika ada satu kekurangan yang mungkin boleh disenaraikan disini, mungkin dari segi beratnya. Ya, beratnya sebanyak 45.5 g (tanpa strap) dirasakan sedikit berat jika pengguna memakai jam ini untuk beberapa aktiviti senaman. Selain dari itu, penulis merasakan tidak ada masalah lain.

BAGAIMANA NAK BELI?

Bagi mereka yang berminat dengan Honor GS Pro ini, anda boleh membelinya menerusi laman web www.hihonor.com. Harga jualan ialah RM 999.

Ia datang dengan dua warna iaitu charcoal Black dan Marl White. Pembeli juga akan menerima free gift berupa earphone Honor Sport Pro yang bernilai RM 299.