Connect with:




Kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2020 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, bulan depan, ditunda ke tarikh baharu iaitu 24 September hingga 3 Oktober ini berikutan kebimbangan penularan jangkitan coronavirus baharu atau COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abd Rahim Md Arif, berkata penjadualan semula kejohanan tahunan itu diputuskan demi kepentingan pemain, pegawai dan semua pihak terlibat bagi mencegah jangkitan yang semakin menular di Korea Selatan dan Jepun.

Sebelum ini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan Australia, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Pakistan dan tuan rumah Malaysia akan menyertai kejohanan tersebut dari 11 hingga 18 April.

“Kesihatan pemain dan kesejahteraan pasukan terutama Australia, Kanada dan Jepun patut dipertimbangkan supaya tidak menjejaskan persediaan mereka menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abd Rahim berkata keputusan penjadualan semua kejohanan itu telah dimaklumkan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), MHC, Persekutuan Hoki Asia (AHF) serta pasukan yang mengesahkan penyertaan.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas kesulitan ini tetapi ini adalah langkah terbaik memandangkan situasi COVID-19 di peringkat global,” katanya. – BERNAMA