wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Malaysia bakal menggalas tugas berat dan mencabar untuk memburu tiket ke Piala Dunia 2014 apabila disenaraikan dalam Kumpulan A pada Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 di Ipoh, Perak dari 24 Ogos hingga 1 Sept ini.

Undian lapan pasukan bertanding di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, itu
menyaksikan Malaysia berada dalam kumpulan bersama naib juara Pakistan, Jepun
dan Oman.

Manakala juara bertahan Korea Selatan disenaraikan dalam Kumpulan B bersama
India, China dan Bangladesh.

Setiausaha Agung Persekutuan Hoki Asia (AHF) Tan Sri P.Alagendra berkata
pembahagian kumpulan Piala Asia 2013 adalah berdasarkan senarai ranking dunia
yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Jadual perlawanan akan ditentukan pada akhir bulan depan selepas menerima
pengesahan pasukan yang tersenarai,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat
majlis AHF ke-62, di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Hong Kong dan Taiwan diletakkan sebagai pasukan
simpanan sekiranya mana-mana pasukan yang tersenarai menarik diri.

Berdasarkan ranking dunia, Pakistan menduduki tangga kelima, Korea Selatan
(8), India (11), Malaysia (13), Jepun (16), China (18), Oman (36) dan Bangladesh
di tangga ke-40.

Sementara pasukan simpanan, Hong Kong di tangga ke-42 diikuti Taiwan di
tangga ke 49.

Juara Piala Asia 2013 di Ipoh nanti akan mewakili benua Asia pada Kejohanan
Piala Dunia yang disertai 12 pasukan di The Hague, Belanda, dari 2 hingga 15 Jun
2014.

Malaysia telah beraksi sebanyak enam kali pada Piala Dunia sejak 1973 dan
kali terakhir menduduki tempat kelapan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah
pada 2002.

Malaysia gagal melayakkan diri ke Piala Dunia pada 2006 di Monchengladbach,
Jerman dan 2010 di New Delhi, India.

Pada Kejohanan Piala Asia lepas pada 2009 di Kuantan, Pahang, Malaysia
menduduki tempat keempat selepas kalah 7-6 kepada China dalam pukulan penalti
selepas terikat 3-3 pada perlawanan penentuan tempat ketiga. – BERNAMA