Prestasi cemerlang skuad hoki negara dalam kejohanan Cabaran Juara-Juara yang sedang berlangsung di Quilmes, Argentina mendapat pujian jurulatih mereka Paul Revington.

Beliau memuji semangat berpasukan yang ditunjukkan anak buahnya.  Malam tadi mereka mengekal kemenangan kali ketiga iaitu perlawanan akhir mereka dalam Kumpulan A dengan mengalahkan Kanada 4-2.

Sebelum ini mereka mengalahkan Poland 4-0 pada Sabtu dan mengejutkan pasukan nombor tujuh dunia Korea Selatan 4-2 sehari kemudian, untuk mengungguli kumpulan tersebut.

“Ini merupakan kejohanan antarabangsa rasmi pertama kami. Sebab itu ia baik untuk kami menjaring empat gol dalam setiap perlawanan.

“Saya gembira dengan pemain saya kerana mereka melakukan yang terbaik, kerana bermain menentang Kanada bukan mudah. Lawan kami seterusnya ialah Afrika Selatan dan Ireland yang kedua-duanya bagus,” katanya dalam laman web kejohanan www.fih.ch.

Bagi penjaga gol S. Kumar, beliau menanggap mereka bermain dengan baik dalam tiga perlawanan kumpulan dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan dalam perlawanan seterusnya.

“Walaupun ini kejohanan penting dan kami mahu menang, kami mahukan peningkatan beterusan dalam pasukan,” katanya.

Jurulatih Kanada, Anthony Farry berkata skuad Malaysia bermain lebih baik dari skuadnya.  “Mereka (Malaysia) memberi tekanan di setiap sudut dan kami tidak dapat menyekatnya,” katanya.

Malaysia dijadual bertemu Africa Selatan dari Kumpulan B di suku akhir pada Khamis. – BERNAMA.