Connect with:




Bintang MMA negara, Hisyam ‘Zephyrus’ Syamsudin sepatutnya beraksi dalam ONE: VISIONS OF VICTORY di Bukit Jalil, Jumaat lalu. Bagaimanapun, pertarungannya terpaksa dibatalkan beberapa hari sebelum berlangsungnya acara gara-gara kecederaan yang menimpa lawannya, Jerome S Paye dari Liberia.

Hisyam nyata kecewa kerana tidak dapat beraksi di depan penyokong Malaysia namun terpaksa menerima kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, ONE minggu ini telah mengumumkan Hisyam akan beraksi dalam pertarungan kategori featherweight ONE:IRON WILL pada 24 Mac ini di Impact Arena, Bangkok. Lawannya nanti ialah Sunoto dari Indonesia.

Hisyam memberitahu lawannya itu sememangnyaa seorang pertarung hebat yang gemar melakukan terpaan ke tanah dan berlawan di bawah.

“Strategi saya mudah, selaku peninju, saya akan gunakan kelebihan bertarung dengan tumbukan. Namun jika dia mahu bermain di bahagian bawah, saya sudah bersedia. Saya sudah meningkatkan skill gusti dan BJJ sepanjang latihan sebelum ini” kata Hisyam yang berasal dari Tawau, Sabah.

Hisyam menambah dia akan menjadikan kejayaan bintang-bintang MMA negara pada Jumaat lalu sebagai motivasi untuk dibawa ke Bangkok nanti.

“Tahniah kepada semua iaitu Jihin, Aiman dan Agilan yang menang pertarungan malam tersebut. Saya begitu kagum dengan prestasi mereka.

“Saya juga bangga melihat Gianni Subba memberi saingan yang cukup sengit kepada Recce McLaren. Gianni sagat dominan dalam pertarungan tumbukan namun Recce lebih bernasib baik dapat membuat kuncian lengan pada pusingan kedua.

Ini bakal menjadi pertarungan ketiga buat Hisyam di pentas ONE Championship selepas memilik rekod 1 kemenangan dan 1 kekalahan sebelum ini.