Connect with:




Semalam menyaksikan satu aksi Muay Thai hebat melibatkan peserta negara dan juga lawannya dari Jepun.

Kedua-dua pahlawan imi masuk ke dalam gelanggang dengan bergaya. Hiroaki Suzuki tampil bersama lagu dari negaranya, Jepun sementara Mohammed bin Mahmoud menggunakan lagu dari Jordan sambil membawa masuk Jalur Gemilang.

Bagi Suzuki, pertarungan di Mall Of Asia, Manila bersempena ONE: Hero’s Ascent ini adalah penampilan keduanya dalam siri ONE Championship. Begitu juga dengan Mohammed yang dikenali dengan nama Jordan Boy. Dia muncul di pentas MMA terbesar di Asia ini buat kali kedua selepas cemerlang dalam kemunculan pertamanya di Kuala Lumpur, Disember lalu.

Mohammed jelas mempunyai kelebihan dari segi ketinggian namun jika mengikut susuk tubuh, fizikal Suzuki kelihatan berotot. Kedua-dua memulakan aksi bantamweight super series muay thai ini dengan berhati hati sebelum Suzuki mengasak petinju negara ini dengan bertubi-tubi.

Pusingan pertama, Suzuki jelas menguasai pertarungan. Dan ia bersambung pada pusingan kedua. Walaupun kerap dijatuhkan Mohammed, Suzuki lebih banyak mendapat mata menerusi pukulan dan sepakan padu .

Mohammed kemudian tampak semakin penat, berbeza dengan Suzuki yang langsung tidak menunjukkan keletihan. Berbaki beberapa saat lagi uuntuk pertarungan tamat, asakan bertubi tubi Suzuki tidak lagi dapat ditangkis Mohammed sekaligus membuatkan pengadil, Yuji Shimada menghentikan dan memberikan kemenangan mutlak buat Suzuki.

Kekecewaan jelas terpancar di muka Mohammed yang ingin keluar terus dari gelanggang namun ditenangkan oleh bapa dan abangnya yang berada di tepi gelanggang.

Kekalahan ini sebenarnya memberi satu pengajaran berguna buat Mohammed. Dia tidak harus berasa kecewa kerana masih muda. Perjalanannya dalam karier sukan ini masih jauh dan sebagai antara bintang Muay Thai yang terkenal di Malaysia, ini hanya mematangkan prosesnya dalam menjadi lebih hebat pada masa akan datang.