Peneraju nutrisi global terkenal, Herbalife hari ini mengumumkan penajaan dalam bentuk kewangan dan produk kesihatan nutrisi kepada 5 atlet terkemuka negara selama setahun.

Atlet-atlet tersebut ialah Edan Syah; pelari maraton Malaysia terpantas 2016, Rikigoro Shinozuka dan Irene Chong; atlet triathlon negara yang akan beraksi di Sukan SEA, Adiq Husainie; pelumba basikal lebuh raya serta pemain skuasy negara, Low Wee Wern yang disambung penajaannya.

Menurut Pengurus Kanan Herbalife Nutrition Malaysia, Steve Chin, syarikatnya amat berbangga untuk menaja atlet-atlet kebangsaan ini dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cerdas.

“Kami memiliki kelima-lima atlet berdasarkan pencapaian mereka serta bersesuaian dengan bidang sukan dan rutin latihan yang cukup padat. Bagi atlet-atlet ini, nutrisi memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan stamina dan prestasi.

“Kita serba maklum cabaran untuk rakyat Malaysia kekal sihat adalah faktor pemakanan yang sukar untuk kita hindar. Menerusi penajaan ini, diharap ia mampu menyuntik kesedaran kepada rakyat Malaysia dimana melakukan aktiviti kecergasaan sahaja tidak cukup jika kita menjaga pemakanan” kata Steve pada majlis menandatangi perjanjian penajaan di Kuala Lumpur pada Khamis.

Herbalife sebelum ini telah menaja atlet kebangsaan di Sukan Olimpik Khas 2017 yang berlangsung di Austria, Mac lalu.