Connect with:




Kemelut perpindahan yang menghantui Evan Dimas Darmono dan Ilham Udin Armaiyn sudah menemui penyelesaian dan mereka bakal tiba di Malaysia pada petang ini.

“Rundingan positif antara dua pihak amat melegakan dan menemui jalan yang baik buat dua pemain”, kata ejen pemain, Muly Munial.

Rundingan antara residen Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi berlansung di jakarta,dua hari lepas.

 

Berikut merupakan kontroversi yang mengaitkan bintang muda Indonesia itu dengan Selangor.

Selepas Evan dan Ilham menandatangani kontrak bersama Red Giants pada Disember 2017, Edy menghalang perpindahan pemain Indonesia ke luar negara kerana bimbang akan menjejaskan persiapan skuad Bawah 23 tahun (B-23) mereka untuk Sukan Asia 2018 yang akan diadakan di negara itu.

Keadaan tersebut menyebabkan nasib Evan dan Ilham tergantung hingga gagal melapor diri pada hari yang sepatutnya.

Kata Muly, selari dengan persetujuan yang dicapai antara FAS dan PSSI, Evan dan Ilham dijadual kembali ke pangkuan skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan menentang Iceland pada 14 Januari.

“Ya, mungkin mereka akan menyertai perlawanan persahabatan itu dan kembali ke Indonesia,” katanya lagi.

Semalam, Edy menegaskan pihaknya tiada masalah melepaskan dua tonggak skuad kebangsaan Indonesia yang sebelum ini beraksi dengan Bhayangkara FC itu untuk menyertai Selangor selepas Subahan bersetuju dengan syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak Indonesia tersebut.

“Kami bersetuju mengikuti sebarang arahan daripada Presiden PSSI berhubung penyesuaian jadual dan tempoh pelepasan bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia terutama skuad Bawah 23 mereka bagi persiapan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Ogos depan.

“Saya juga berterima kasih kepada Edy Rahmayadi kerana sudi menerima kunjungan dan berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik membabitkan kedua-dua pemain ini,” kata Subahan menerusi satu kenyataan.

Foto Kredit : Banjarmasin