Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan Hendrawan berharap peraturan pukulan servis baru yang diperkenalkan oleh Badminton World Federation (BWF), tidak akan menjejaskan prestasi Datuk Lee Chong Wei di All England, yang bermula pada hari ini di Birmingham.

Menurut Hendrawan, ini adalah kali pertama Chong Wei akan melakukan pukulan servis mengikut peraturan baru.

“Sudah tentu, saya agak bimbang kerana ini akan menjadi kali pertama Chong Wei. Dari segi persediaan dan keadaan fizikalnya, semuanya baik namun ia akan mendatangkan sedikit kesukaran buat pemain nombor dua itu.

“Satu-satunya kebimbangan saya ialah keputusan baru mungkin mempengaruhi gaya permainannya sedikit, saya mahu dia tetap fokus dan tidak biarkan ia terlalu banyak memberi kesan kepadanya,” kata Hendrawan.

Peraturan baru yang diumumkan BWF itu menyaksikan pemain perlu memastikan bulu tangkis berada pada ketinggian tidak melebihi 1.15 meter dari permukaan gelanggang ketika mahu melakukan pukulan servis.

Terdahulu, ketinggian bulu tangkis yang ditetapkan oleh BWF tidak melebihi 1.1m.

Peraturan yang baru diperkenalkan ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain badminton dunia terutama yang memiliki fizikal tinggi termasuk pemenang pingat emas Olimpik dua kali, Lin Dan dari China.

Dalam pada itu, Chong Wei akan membuka tirai saingan menetang pemain Brazil, Ygor Coelho berdepan laluan sukar dalam misi mepertahankan juara dimenangi tahun lalu.

“Berdasarkan cabutan itu, saingan yang diberikan tidak akan mudah, tetapi seperti yang telah saya katakan sebelum ini, Chong Wei mesti fokus dan mengambil satu perlawanan pada satu masa.”

Chong Wei, 36 sebelum ini pernah memenangi kejohanan badminton All England pada tahun 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Foto Kredit: Fourth Official