Connect with:




Setelah memenangi perlumbaan pertama musim ketiga Toyota Gazoo Racing Festival dan Toyota Vios Challenge, pelumba cilik Hayden Haikal sekali lagi mencuri tumpuan apabila pusingan kedua berlangsung hujung minggu ini (9-10 November) di Bandar Malaysia.

Dilihat cara pemanduan dan keligatannya bersaing di litar lumba, ramai tidak menyangka bahawa Hayden baharu sahaja mencecah usia 15 tahun.

Hayden bagaimanapun, sudah berulang kali menduduki tiga tempat teratas dan dua kali mencatatkan kemenangan memandu di dalam kategori Sporting yang dibarisi pelumba-pelumba amatur yang jauh lebih berumur dan berpengalaman.

“Terus terang, saya lebih gemar berlumba di litar seperti Sepang. Berlumba di litar jalan memang lebih sukar dan mencabar kerana ia tidak memberi banyak peluang untuk memintas,” kata Hayden yang berhijrah dari arena go-kart ke perlumbaan kereta tahun lepas.

“Walaupun teknik dan teori berlumba tidak jauh berbeza, pada mulanya memang agak gementar kerana saya terpaksa mempelajari cara-cara memandu sebuah kereta. Ia amat berbeza sekali dengan menandu jentera go-kart.

“Persaingan di litar jalan juga sangat sengit memandangkan kesemua pelumba menggunakan jentera Toyota Vios yang sama tanpa dibenarkan membuat sebarang pengubahsuaian.

“Dari segi psikologi, saya juga perlu banyak kali mengingatkan diri sendiri yang saya sedang bersaing dengan rakan-rakan pelumba yang jauh lebih tua dari saya.”