Connect with:




Jaringan hatrik Cristiano Ronaldo membantu kelab gergasi Itali, Juventus bangkit untuk mara ke peringkat suku akhir selepas mencatat kemenangan 3-0 dan agregat 3-2 di Turin awal pagi tadi.

Ronaldo yang mencipta hatrik ke-8 dalam kejohanan Liga Juara-Juara, menyamai rekod bintang Barcelona, Lionel Messi malah pemain kebangsaan Portugal itu mencipta rekod penjaring terbanyak dengan 124 gol dalam kejohanan itu.

Ronaldo turut menyatakan bahawa ini adalah malam yang luar biasa untuk dirinya dan Juventus.

“Ia akan sentiasa menjadi malam yang istimewa dan ia bukan saja kerana jaringan itu, tetapi untuk pasukan. Ini adalah mentaliti juara. Ini adalah sebab utama mengapa Juve membeli saya, untuk membantu meraih malam yang magis seperti ini”, kata Ronaldo.

Kekalahan Atletico di bawah kendalian Diego Simeone menyaksikan harapan kelab Sepanyol itu untuk beraksi di pentas final yang dijadualkan di gelanggang sendiri, Stadium Wanda Metropolitano pada 1 Jun depan turut terkubur.

“Juventus bermain dengan cara yang sama seperti kami lakukan pada perlawanan pertama. Kami bergelut dan mereka layak mara ke suku akhir.

“Saya tidak fikir ia adalah persembahan terburuk kami. Mereka bermain dengan lebih baik dan kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka”, kata Simeone.

Sementara itu, Allegri dalam pada itu memuji kematangan yang ditonjolkan skuad kendaliannya.

“Mereka menunjukkan kematangan yang hebat. Mereka menampilkan permainan terbaik, saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Inilah yang kami mahukan pada aksi pertama”, kata Allegri.

Juventus kini satu-satunya kelab Itali yang layak ke suku akhir selepas As Roma tersingkir di tangan FC Porto.

Foto: Sportskeeda