Enam perlawanan Liga Super telah berlangsung semalam dengan pasukan kelompok atas liga masing-masing memperolehi mata penuh. Kelantan kekal menerajui liga dengan 23 mata, tiga mata di depan Terengganu dan Lions XII yang berkongsi kedudukan dan dibezakan menerusi perbezaan gol. T-Team pula berada di kedudukan keempat dengan 19 mata.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah gagal memanfaatkan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 di tangan Kelantan. Kesilapan penjaga gol Perak, Mohd Nasril Nourdin yang keluar dari kawasan golnya membawa padah apabila sepakan percuma Daudsu Jamaluddin dari kawasan tengah padang berjaya memberikan gol pendahuluan Red Warrior pada minit ke-10.

Kelantan terus menguasai aksi namun gagal menembusi benteng pertahanan Seladang yang diketuai Khairi Zainuddin. Peluang terbaik Perak untuk menyamakan kedudukan adalah menerusi percubaan Mohd Failee Ghazli yang diselamat Farisham Ismail hasil gerakkannya bersama Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Michal Kubala.

Zairul Fitree Ishak menambah derita Perak dengan gol kedua Kelantan hasil sepakan percumanya menewaskan Nasril Nourdin sekali lagi pada minit ke-28. Di babak kedua, Perak menambah asakan ke kubu Kelantan menerusi beberapa gerakan dari Michal Kubala namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Perak berpeluang merapatkan jurang menerusi Akmal Rizal pada minit ke-68, namun rembatannya jauh tersasar dari gol walaupun sudah berada di depan gol pelawat. Perak terus hampa apabila sepakan percuma Michal Kubala di penghujung perlawanan sekadar singgah ke tiang gol yang dikawal Mohd Shahrizan Ismail. Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan dan Seladang terpaksa berputih mata di laman sendiri.

Terengganu pula berpesta jaringan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu apabila menumbangkan Sabah dengan keputusan 6-3. Penyerang, Francis Forke menjaringkan hatrik pada minit ke-13, 15 dan 78 disamping jaringan Ashaari Shamsuddin (5’), Abdul Manaf Mamat (44’) dan Joseph Kallang Tie (80’). Gol Sabah pula diperolehi menerusi Zainizam Marjan (35’), Brendan Gan (45’) dan Rozaimi Abdul Rahman (66’).

Derby Lembah Klang yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Kuala Lumpur dibenam Selangor 3-0 menerusi jaringan penyerang, Basko Balaban pada minit ke-58, P. Gunalan (61’) dan Amirulhadi Zainal (90’). Ini merupakan kekalahan Kuala Lumpur buat kali keenam berturut-turut dan masih belum menang dalam 10 aksi setakat ini.

Sementara itu, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan Effa Owona dan pemain sayap skuad kebangsaan, S. Kunanlan pada minit ke-24 dan 41 membolehkan tuan rumah mengutip mata penuh menewaskan Kedah 2-1. Gol saguhati pelawat dijaringkan kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-60. Walaupun cuba mencari gol penyamaan dengan menambah asakan ke kubu lawan, Kedah terus tumpul di depan gol.

Di Stadium Negeri, Kuching, pasukan pelawat, Lions XII boleh dikatakan bernasib baik memperolehi kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak hasil penalti yang disudahkan kapten, Shahril Ishak pada minit ke-72. Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut Lions XII namun terpaksa turun ke kedudukan ketiga liga setelah Terengganu berpesta jaringan di Kuala Terengganu.

Mendahului perlawanan menerusi jaringan penyerang, Arthuro Henrique seawal minit ke-4, Johor FC akhirnya terpaksa tunduk 1-3 kepada T-Team di Stadium Jcorp, Pasir Gudang.  T-Team bangkit tiga gol menerusi jaringan Mohd Faiz Subri, Khairul Izwan Talib dan Azrul Hazran Amiluddin Baki.