15

 

Impian Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying untuk menjadi pasangan campuran pertama menjulang gelaran juara Terbuka Malaysia selepas kali terakhir dilakukan Tan Aik Huang – Teoh Siew Yong pada tahun 1963 tidak kesampaian dengan beregu Denmark, Joachim Fischer Nielsen – Christianna Pedersen menafikan hasrat beregu nombor 1 negara itu.

Peng Soon – Liu Ying, pilihan pertama kejohanan yang menduduki ranking ke-3 dunia gagal menghalang penguasaan Nielsen-Pedersen; pilihan keenam kejohanan yang jelas ditunjukkan menerusi permainan kemas mereka.

Set pertama dimenangi pasangan Denmark yang menduduki ranking ke-6 dunia ini dengan mata 21-13. Kemenangan set ini kebanyakannya berpunca hasil tindakan Nielsen dan Pedersen yang kerap melakukan serangan menerusi pukulan smash kencang untuk mematikan permainan Peng Soon dan Liu Ying.

Kesilapan demi kesilapan pasnagan negara yang kerap menghantar bola diluar garisan jelas memberi tekanan buat mereka sehingga menampakkan Nielsen – Pedersen seperti bakal memenangi pertarungan ini dengan mudah di set kedua selepas mendahului 18-12.

Beregu negara cuba bangkit dengan mengutip 5 mata berturut-turut bagi merapatkan kedudukan 17-18 untuk menyalakan sedikit harapan membawa permainan ke set tambahan.

Walaubagaimanapun, Nielsen – Pedersen tenang menerima asakan dan berjaya menamatkan permainan dengan kemenengan 21-18 di set kedua untuk menamatkan kemarau 14 tahun Denmark dalam saingan kategori beregu campuran Malaysia Open selepas kali terakhir dilakukan kuasa badminton Eropah ini pada 1999 menerusi gandingan Michael Søgaard –  Rikke Olsen.

“Saya rasa kami boleh main lagi bagus sebenarnya. Kami kalah kerana terlalu ingin cepat menghabiskan permainan terutama pada set kedua” kata Peng Soon.

“Kami berdua perlu lebih banyak belajar daripada beregu campuran ternama dunia yang lain sekiranya ingin berjaya pada masa depan,” tambahnya lagi.

Bagi Nielsen pula, kemenangan ini adalah saat manis untuk mereka berdua kerana berjaya menjuarai Terbuka Malaysia di hadapan penonton tuan rumah.

“Kami yakin akan menang di sini walaupun sokongan daripada penyokong kadang-kadang mengganggu permainan kami,” katanya kepada  pemberita.