Connect with:




Selepas gagal mencatatkan sebarang mata selepas perlawanan menentang tuan rumah, Kambodia di Stadium Phnom Penh, sudah pasti skuad Datuk Ong Kim Swee mengharapkan anak buahnya dapat memungut mata bagi perlawanan kedua Piala AFF U-22 2019.

Aksi kedua menyaksikan Malaysia bakal menghadapi tentangan daripada seteru utama, Indonesia  yang akan berlangsung pada petang ini.

Jika dilihat pada perlawanan pertama sebelum ini, Indonesia mencatatkan keputusan seri 1-1, sementara Malaysia pula tumbang kepada 0-1 kepada Kamboja.

Hasil kurang memuaskan ini ternyata memberi kesan buat pasukan Malaysia yang kini berada di tangga tercorot dalam kumpulan B.

Indonesia pula hanya mengutip satu mata sekaligus meletakkan mereka di kedudukan ketiga dalam kumpulan yang sama.

Sementara itu, pengendali  skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee menegaskan anak buahnya perlu bangkit dari kekalahan dahulu dan menjadikan aksi kedua bertemu Indonesia pada Rabu ini sebagai medan penebus duka.

“Aksi kedua nanti, kita harus mendapatkan mata tak kira berapa pun untuk membuka peluang kepada peringkat seterusnya,” katanya.

Jelas jurulatih berusia 49 tahun itu, kekalahan pertama itu nyata menyukarkan lagi laluan negara ke pusingan kalah mati.

Dalam perkembangan lain, jurulatih Indonesia mengaku enggan mengambil jalan mudah dan meremehkan Malaysia biarpun Malaysia kalah dalam aksi pertama.

Katanya, Malaysia mampu memberi kejutan sekiranya anak buahnya tidak fokus dan perlu sentiasa berhati-hati untuk perlawanan petang ini.

Perlawanan Malaysia menentang Indonesia akan berlangsung pada pukul 4.30 petang, siara langsung di Astro Arena.