Kepenatan jelas menghantui beberapa tonggak utama skuad Olimpik kebangsaan ketika melayan kunjungan skuad Olimpik Syria untuk perlawanan kedua Kumpulan C, Kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Walaupun cuma berehat tak sampai 48 jam selepas menempuhi perlawanan akhir Sukan SEA yang berlanjutan hingga ke sepakan penalti, skuad Harimau Muda tetap memberikan cabaran yang boleh dipuji kepada Syria sebelum tumbang dengan keputusan 0-2.

Ong Kim Swee menurunkan beberapa tonggak utama yang telah mengharungi hampir semua perlawanan dalam tempoh dua minggu di Jakarta tempohari. Hanya dua tonggak baru disenaraikan iaitu Amer Saidin di pertahanan tengah dan Wan Zack Haikal Wan Nor di bahagian sayap.

Aksi babak pertama, Malaysia mempamerkan aksi baik dengan menyekat beberapa serangan merbahaya Syria malah ada ketika menyerang ke kubu lawan. Benteng yang dikawal Muslim Ahmad, Amer Saidin, Mahali Jasuli dan Zubir Azmi dilihat berjaya menyerap asakan lawan dengan baik.

Namun, ketumpulan jentera hadapan yang terus menghantui pasukan ini walaupun semua bahagian telah memberikan aksi yang baik.

Malah Fakri Saarani dan Thamil Arasu dilihat tidak melaksanakan fungsi sebenar mereka sebagai penyerang walaupun bahagian tengah yang dikemudi bintang muda, Nazmi Faiz bersama K. Gurusamy, Fandi Othman dan Wan Zack Haikal kerap mencipta sesuatu ke kubu lawan.

Khairul Fahmi yang diberikan tugas kapten dilihat beberapa kali terpaksa melayangkan badannya untuk menyelamatkan gawang Malaysia dari dibolosi, malah benteng pertahanan juga terpaksa bekerja keras menyekat serangan bahaya Syria dari pelbagai sudut.

Gol Malaysia akhirnya dibolosi lawan seawal babak kedua bermula iaitu pada minit ke 51, berpunca dari lontaran masuk di sebelah kanan gol. Solaiman Solaiman yang tidak dikawal baik berjaya menanduk masuk bola yang terlebih dahulu ditanduk rakan sepasukan kepadanya yang berada di depan gol.

Syria menggandakan asakan namun kecemerlangan Khairul Fahmi terus menyelamatkan keadaan kucar-kacir skuad Malaysia yang kelihatan mula hilang fokus. Faktor penat mula memainkan peranan apabila Syria kerap kali berjaya merampas bola dari kaki pemain Malaysia dengan mudah.

Dan akhirnya pada minit ke 87, berpunca dari kesilapan Muslim Ahmad yang memberikan bola pada penyerang lawan telah menghasilkan gol kedua Syria hasil jaringan Nassouh Nakkdahli, penyerang gantian yang baru masuk.

Pujian harus diberikan walaupun Harimau Muda gagal menyekat Syria meraih kemenangan kedua semalam dan terus menguasai tempat pertama Kumpulan C dengan 6 mata bersama Jepun. Mereka telah memberikan cabaran buat Syria sebelum tumbang.

Sementara itu, Jepun turut mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Bahrain dalam satu lagi perlawanan pada hari Selasa lalu. Malaysia akan bertemu pasukan tercorot kumpulan Ahad ini iaitu Bahrain di laman sendiri, manakala Jepun pula akan melayan kunjungan Syria.

Statistik : Malaysia/Syria

GOL : 0/2
PERCUBAAN TEPAT : 5/9
PERCUBAAN TERSASAR : 6/6
TENDANGAN SUDUT : 1/9
OFSAID : 1/2
KAD KUNING : 3/2
KAD MERAH : 0/0