Masih banyak yang perlu dilakukan Harimau Muda B menjelang aksi kempen S-League selepas pasukan ini tewas perlawanan persahabatan menentang Harimau Muda A di Wisma FAM.

Pengendalinya, Razif Ismail mengakui anak buahnya masih belum bersedia sepenuhnya untuk bersaing dalam liga negara jiran yang mencabar itu.

“S-League memang satu liga yang mencabar dimana disana mereka membenarkan 5 pemain import bermain dan ini pastinya memberi kesukaran buat kita nanti.

“Dalam perlawanan ini pula dapat dilihat pemain-pemain terlalu menghormati atau takut dengan pihak lawan. Kita akan cuba buang masalah ini sebelum bermula S-League nanti” kata Razif selepas menyaksikan anak buahnya dibelasah Harimau Muda A 1-6 yang turut disaksikan pengurus pasukan, Datuk Astaman Abdul Aziz.

Razif Ismail

Razif Ismail

 

Razif menambah banyak perkara perlu ditingkatkan dan berharap pemain-pemainnya cepat matang dan belajar dari kesilapan yang dilakukan.

“Apa yang dilakukan Ong Kim Swee dan anak buahnya pada musim lepas di S-League merupakan satu pencapaian yang hebat. Satu cabaran besar buat pasukan namun kami akan tetap cuba yang terbaik untuk mengulanginya” tambah Razif.

Jurulatih  yang mempunyai pengalaman membawa pasukan beraksi di S-League iaitu Ong Kim Swee pula percaya pasukan Harimau Muda B akan bertambah baik dari masa ke semasa terutamanya selepas psuingan pertama liga nanti.

“Beri mereka peluang. Masih banyak masa diperlukan untuk pasukan ini mempertingkatkan permainan. Apa yang lebih penting adalah mereka meraih pengalaman berharga disana nanti.

Ketika ditanya apakah elemen yang perlu diperbaiki barisan Harimau Muda B, Kim Swee menekankan ketenangan dan kematangan perlu menjadi keutaman buat pemain-pemain muda.

“Dua elemen ini sangat penting. Mereka perlu lebih tenang dan cepat matang lebih-lebih lagi mereka akan berhadapan pemain-pemain import yang lebih berpengalaman dari mereka” kata Kim Swee.

Harimau Muda B yang rata-ratanya dibarisi pemain berumur 19 tahun akan mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Premier dan juga pasukan Melaka sebelum memulakan kempen S-League pada 20 Februari nanti.