Rimau Muda

Jurang perbezaan skuad Harimau Muda A dan Harimau Muda B ternyata masih jauh selepas keputusan perlawanan persahabatan memperlihatkan kehebatan pasukan senior menang 6-1 keatas pasukan lawan.

Hanya beberapa minit diperlukan untuk skuad kendalian Ong Kim Swee berada di depan selepas Shahrul Saad menjaringkan gol pertama. Ferris Danial kemudiannya menambah gol kedua sebelum Gary Steven Robbat menjaringkan gol ketiga Harimau Muda A.

Harimau Muda B yang dibimbing bekas pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail sambil dibantu Mat Zan Mat Aris berjaya merapatkan jaringan menerusi pemain berjersi 19, Faizal untuk membawa keputusan 3-1 ini kekal hingga tamat babak pertama.

Anak buah Ong Kim Swee terus menampilkan persembahan terpuji dibabak kedua dengan menambah 3 gol cantik menerusi Wan Zaharulnizam dan Thamil Arasu (2 gol). Harimau Muda B gagal menambah jaringan walaupun lawan terpaksa beraksi 10 pemain pada 15 minit terakhir selepas Nazirul Naim mengalami kecederaan yang memaksa Ong Kim Swee mengeluarkannya.

Bagi Kim Swee, kemenangan ini penting untuk memastikan pasukan berada dalam landasan yang betul sebelum berangkat ke Australia untuk menjalani latihan di luar negara.

“Pemain telah memberikan komitmen 100% dan itu sememangnya satu perkara yang bagus untuk pasukan.

“Apa yang lebih melegakan ialah kehadiran semula Kecik (Wan Zaharulnizam) serta Thamil Arasu yang kembali dari kecederaan dan mereka berdua beraksi dengan baik pada perlawanan ini” kata Kim Swee yang ditemui selepas perlawanan.

Jurulatih yang berasal dari Melaka ini juga turut berpuas hati dengan beberapa muka baru yang mengisi kekosongan ditinggalkan bekas-bekas pemain seperti Mahali Jasuli dan Affizie Faisal.

“Kita dapat lihat Azrif Nasrulhaq bermain dengan baik. Gandingannya bersama Wan Zack dibahagian kanan cukup berkesan setakat ini” katanya lagi.

Harimau Muda A akan ke Australia hujung Januari ini sebelum menjalani latihan di Slovakia dimana pasukan ini akan bermain 15 perlawanan persahabatan menentang kelab-kelab disana. Kim Swee dan anak-anak buah kemudiannya dijangka menyertai kejohanan Pestabola Merdeka dan Newspaper Cup sebelum memulakan misi sebenar mereka iaitu mempertahankan emas Sukan Sea di Myanmar nanti.