45

Sebagai persiapan kepada kempen kelayakan Piala Asia 2015, skuad Harimau Malaya akan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan handalan Asia seperti Iraq, China dan Uzbekistan.

Malaysia dijadualkan menentang Iraq di Dubai pada 1 Februari sebelum memulakan aksi pertama kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha. Selain Qatar, turut menjadi lawan skuad kebangsaan pada kempen kali ini ialah Yemen dan Bahrain.

Perkara ini diumumkan pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal kepada pemberita di Wisma FAM. Subahan turut menyatakan beberapa negara lain telahpun menyatakan persetujuan awal untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan kini hanya tinggal untuk pengesahan sahaja.

“Selain pasukan-pasukan hebat Asia seperti China, Iraq, Uzbekistan, Jordan dan Oman, kita juga telah mendapat persetujuan untuk berhadapan dengan Thailand, Taiwan, India dan Korea Utara.

“Ini satu peluang terbaik buat pasukan negara berhadapan dengan kuasa-kuasa besar bolasepak Asia. Kita harus faham, jurang perbezaan sangat besar namun inilah masanya untuk pasukan negara merapatkan jurang tersebut” tambah Subahan.

Subahan turut menggesa orang ramai memberikan peluang kepada Datuk K.Rajagobal dan anak buahnya selepas gagal mempertahankan Piala AFF yang dimenangi pada 2010.

“Secara peribadi saya rasa kita tidaklah gagal. Kita konsisten melayakkan diri ke separuh akhir. Di Sukan Sea juga kita berjaya. Kalau kita lihat Vietnam yang ranking mereka lebih tinggi pun gagal melepasi peringkat kumpulan.

“Saya faham harapan peminat sangat tinggi. Ini satu perkara yang bagus kerana orang ramai sudah mula mengambil berat mengenai bolasepak Malaysia. Namun dalam bolasepak, sukar untuk kita lihat ada pasukan yang kekal berada di atas dan sentiasa menjuarai piala.

“Apa yang penting bagi kita ialah konsisten dan saya rasa kita berjaya melakukannya. Kini sudah tiba kita melangkaui Asia Tenggara dan cuba bersaing diperingkat tertinggi Asia pula” kata Subahan yang juga Naib Presiden FAM.

Senarai pemain yang dipanggil ke skuad kebangsaan akan diumumkan beberapa hari sebelum dikumpulkan di kem kebangsaan yang bermula pada 26 Januari ini.

___________________________________

Jadual Aksi Harimau Malaya Tahun 2013:

(Persahabatan)
– MAS lawan IRAQ, 1 Februari (Dubai)
– MAS lawan OMAN, 17 Mac (Kuala Lumpur)
– MAS lawan THAILAND, 7 Jun (Kuala Lumpur) *menunggu pengesahan*
– MAS lawan JORDAN, 11 Jun (Kuala Lumpur) *menunggu pengesahan*
– CHINA lawan MAS, 18 Jun (China) *menunggu pengesahan*
– MAS lawan TAIWAN, 14 Ogos (Taiwan)
– MAS lawan UZBEKISTAN, 6 September (Tashkent)
– INDIA lawan MAS, 10 September (India)
– KOREA UTARA lawan MAS, 10 Oktober (Korea Utara) *menunggu pengesahan*

(Kelayakan Piala Asia 2015)

– QATAR lawan MAS, 6 Februari (Doha)
– MAS lawan YEMEN, 22 Mac (Kuala Lumpur)
– MAS lawan BAHRAIN, 15 Oktober (Kuala Lumpur)
– BAHRAIN lawan MAS, 15 November (Manama)
– MAS lawan QATAR, 19 November (Kuala Lumpur)
– YEMEN lawan MAS, 5 Mac 2014 (Yemen)