AFC Asian Cup 2015

 

Penyerang kebangsaan, Norfarhan Muhammad berkata skuad Harimau Malaya tidak gentar menghadapi lawan pertama pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, pada 6 Feb ini.

“Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu
tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti,” kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan
ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada saingan tersebut.

Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan
pada Piala AFF Suzuki 2008, mengakui barisan pemain baharu termasuk dirinya
tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada aksi perlawanan itu
kelak.

“Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih
jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar),” katanya kepada Bernama sebelum
berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa
menentang Iraq di Dubai pada Khamis ini, sebelum berlepas ke Doha untuk aksi
kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Mahali Jasuli turut senada dengan
Norfarhan dan menurutnya, persiapan pasukan negara tidak terjejas sekalipun
ramai pemain baharu mengisi senarai skuad kebangsaan bagi menggantikan pemain
yang cedera.

Berikutan kepincangan dalam skuad negara akibat masalah kecederaan pemain
utama, Rajagobal hanya menyenarai 24 pemain daripada perancangan asal 26 pemain.

Antara tonggak yang disisihkan ialah penyerang, Norshahrul Idlan Talaha dan
Safee Sali selain pemain tengah, S. Kunalan, Wan Zack Haikal Wan Nor, Gary
Steven Robbat dan K. Gurusamy. – BERNAMA