Oleh : Muhammad Al-Zaem

Kemenangan skuad bimbingan Datuk  K.Rajagobal dengan keputusan 2-0 ke atas Myanmar malam tadi meneruskan rentak tanpa kalah mereka semenjak menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 pada Disember tahun lalu. Turun tanpa beberapa tonggak utama yang akan beraksi untuk kelayakan Olimpik, skuad kebangsaan tampak bermula agak perlahan. Keadaan padang yang basah dan berlopak akibat hujan lebat juga menyumbang kepada tempo perlahan perlawanan. Separuh masa pertama, pertahanan kanan, Helmi Remeli dua kali menyelamatkan gawang negara dari dibolosi disebabkan kelalaian barisan pertahanan serta penjaga gol, Sharbinee Allawee.

Kesilapan barisan pertahanan Myanmar membolehkan Amirulhadi Zainal berjaya menyumbat gol pertama skuad kebangsaan pada minit ke 27. Skuad kebangsaan banyak menguasai bola berbanding skuad Myanmar tetapi banyak gerakkan tersebut gagal disudahkan dengan baik.  Sekiranya skuad kebangsaan memanfaatkan semua peluang yang terhidang, sudah pasti mereka mampu memenangi perlawanan ini dengan lebih banyak gol. Baddrol Bakhtiar juga mungkin boleh melakukan jaringan hatrik sekiranya semua penyudah beliau tepat ke dalam gawang Myanmar.

Bermula daripada hantaran silang daripada Abdul Hadi Yahaya, bola terbias pertahanan Myanmar dan Baddrol Bakhtiar bijak menggunakan peluang itu untuk melakukan sepakan volley untuk menewaskan penjaga gawang Myanmar buat kali kedua pada minit ke 54.

Datuk K.Rajagobal juga dilihat mencuba beberapa pemain baru untuk beraksi seperti Mohd Shakir Shaari, Yong Kuong Yong, Mohd Farisham Ismail dan juga K.Sasikumar untuk perlawanaan ini. Peluang ini digunakan dengan baik oleh mereka untuk menambat hati Datuk K.Rajagobal terutamanya Mohd Shakir Shaari yang nampak tenang di bahagian tengah bersama Safiq Rahim. Helmi Remeli yang mendapat cap keduanya tadi juga nampak beraksi baik di bahagian pertahanan.

Disamping itu, kecederaan tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Aidil Zafuan tampak serius disebabkan terpaksa dikejarkan ke hospital pada minit ke 72 dan beliau terpaksa digantikan oleh Rizal Fahmi. Secara keseluruhannya, skuad kebangsaan beraksi tenang dan berjaya memenangi perlawanan ini.