Skuad Malaysia ketika menentang Singapura tahun lepas.

 

Pertemuan musuh tradisi, Malaysia-Singapura sememangnya sentiasa mendapat perhatian peminat kedua-dua pasukan kerana kerap kali dianggap lebih dari sekadar bolasepak.

Hubungan antara Malaysia dan Singapura acap kali melalui pasang surut; begitu juga dengan keputusan pertemuan Harimau-Singa ini. Sejak 10 tahun lalu, kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak  14 kali.

Perlawanan sentiasa tegang dan beremosi

 

3 dari 14 pertemuan tersebut berpihak kepada Malaysia, sementara Singapura berjaya mencatat 5 kemenangan manakala 6 lagi perlawanan berkesudahan seri. Pertemuan terakhir iaitu pada Jun lalu menyaksikan Malaysia berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0 hasil jaringan.

Keputusan tersebut sedikit sebanyak mampu menjadi tonik berharga buat anak buah K.Rajagobal namun harus diingat, keyakinan yang terlampau tinggi boleh menjadi perangkap buat mereka seperti yang terjadi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang lepas.

Selepas menjuarai Piala AFF 2010, Malaysia turun dengan cukup yakin untuk melangkah lebih jauh. Namun, sebaliknya yang terjadi ialah Singapura berjaya menidakkan hasrat Malaysia untuk mara lebih jauh dengan kemenangan 5-3 di Jalan Besar selain mengikat keputusan 1-1 di Bukit Jalil.

Berkongsi ranking yang sama iaitu ke-163 dunia, kedua-dua pasukan sebenarnya mempunyai kekuatan yang seimbang. Bagi Malaysia, tentunya gandingan penyerang Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha bakal mengucar-ngacirkan pertahanan Singapura.

Sentuhan berbisa Safee Sali ketika aksi kejohanan tahun 2010 ditagih peminat

 

Harimau Malaya juga berkelebihan dalam situasi bola mati dengan memiliki kepakaran Safiq Rahim dalam sepakan percuma. Selain itu, beraksi dihalaman sendiri diiringi ribuan sorakan penyokong setia pastinya bakal menaikkan semangat skuad Harimau Malaya.

Malaysia perlu manfaatkan kelebihan Safiq Rahim

Skuad Singapura pula mempunyai beberapa pemain senior yang sekali lagi khidmat mereka ditagih seperti Alex Duric. Walaupun sudah mencecah usia 42 tahun, Duric masih mampu kelebihan tersendiri terutamanya penyudah yang tajam. Kelebihan ini jugalah yang membantu pasukannya iaitu Tampines Rovers untuk menjuarai S-League musim ini.

Singapura juga membariskan sebahagian besar pemain-pemain LionsXII yang cemerlang beraksi dalam kempen Liga Malaysia 2012. Situasi ini pastinya memudahkan lagi tugas Rado Avramovic dengan anak-anakbuahnya memiliki keserasian selepas kerap beraksi bersama di Malaysia.

Aleksander Duric masih berbisa walaupun berusia 42 tahun

 

Namun begitu, seperti Malaysia, persiapan awal Singapura juga tidaklah begitu memuaskan selepas tewas dengan Filipina. Cuma kemenangan 4-0 keatas Pakistan pada perlawanan persahabatan terakhir pastinya sedikit sebanyak menaikkan moral buat   juara 3 kali ini.

Keseluruhannya, dengan kedua-dua pasukan mahu melakukan langkah kanan dalam kejuaraan ini, pertembungan Malaysia-Singapura pastinya menjanjikan sesuatu yang menarik dan diharapkan agar skuad Harimau Malaya kita mampu menjelmakan aksi terbaik sekaligus menutup mulut pengkritik yang lantang bersuara sejak kebelakangan ini.

Barisan kemungkinan:

Malaysia (Khairul Fahmi, Mahali Jasuli-Aidil Zafuan-Fadhli Shas-Azmi Muslim, S.Kunalan-Amar Rohidan-Safiq Rahim-Wan Zack, Safee Sali-Nurshahrul Idlan Talaha)

Singapura (Izwan Mahbud, Danial Bennett-Safuwan Bahrudin-Baihakki Khaizan-Shaiful Esah, Shi Jia Yi-Mustafic Fahrudin-Shahdan Sulaiman-Hariss Harun-Shahril Ishak, Alex Duric)