Connect with:




Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kekal positif meskipun laluan tampak berliku buat skuadnya menjulang Kejuaraan Piala AFF buat kali kedua setelah terikat 2-2 pada aksi final pertama bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Selepas kejayaan menunjukkan jalan keluar buat juara bertahan, Thailand, menerusi gol di tempat lawan setelah perlawanan terikat 2-2, Cheng Hoe menyifatkan aksi yang diperagakan anak-anak buahnya semalam adalah antara aksi terbaik dipamerkan Harimau Malaya sepanjang kempen kali ini.

“Kita beraksi menentang Vietnam sememangnya sebuah pasukan dengan kualiti lebih baik tetapi pemain saya dapat memberikan saingan sengit kepada mereka.

“Bukan perlawanan bertemu pasukan seperti mereka, jadi dengan apa yang dipersembahkan pemain saya malam ini (semalam), kredit harus diberikan kepada semua pemain kerana ini antara persembahan terbaik mereka yang pernah saya saksikan.

“Perlawanan ini juga merupakan buat kali pertama, pemain saya mengharungi permainan dengan intensiti dan tempo permainan  yang begitu tinggi jadi sudah tentu pemain saya memperoleh pelajaran berguna untuk di bawa ke perlawanan seterusnya.

“Namun saya tetap yakin pemain akan kekal bersemangat tinggi dan mengekalkan momentum untuk meraih satu lagi keputusan positif di Hanoi bagi aksi final kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai aksi final pertama malam tadi, Cheng Hoe menegaskan anak buahnya perlu lebih fokus jika enggan pulang dalam kekecewaan pada aksi final kedua di Stadium My Dinh, Sabtu ini.

“Kami bermula dengan baik sebenarnya tetapi dibolosi gol awal kerana kekurangan fokus namun masih berbaki 90 minit lagi untuk aksi kedua di Hanoi jadi kita perlu perbaiki segala kesilapan yang berlaku di sini,” ujarnya lagi.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam mempunyai kelebihan dua gol ditempat lawan dan skuad Tan Cheng Hoe kini mengharapkan skrip separuh akhir Piala AFF 2014 berulang.

Skuad negara tumbang 2-1 dengan lawan sama di laman sendiri namun mencipta keajaiban apabila bangkit  menewaskan lawan 4-2 pada aksi di tempat lawan bagi mengesahkan tiket ke pentas final bertemu juara edisi itu, Thailand.

 

Foto : Facebook Football Association of Malaysia (FAM)

Sumber : Bernama