Harimau Malaya Kempunan Di Kandang Sendiri

Pasukan bolasepak negara gagal memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila diikat 1-1 oleh Hong Kong dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, semalam.

Perlawanan yang dirancakkan dengan dua kad merah dan penalti saat akhir itu diadili oleh pengadil dari Australia, Chris Beath.

Anak-anak buah Nelo Vingada buntu untuk mencari gol pendahuluan sehinggalah dikejutkan oleh Hong Kong pada minit ke-53 melalui Alessandro Leonardo hasil ‘tapping’ mudah menewaskan Hafizul Hakim dari sebelah kiri gawang negara.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia memperkemaskan serangan dan hasilnya selang 3 minit kemudian Syazwan Zainon menjaringkan gol penyamaan selepas percubaan Safiq Rahim terbias kaki pemain pertahanan Hong Kong.

Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil pada minit ke-89 akibat kesalahan ‘schoolboy-error’ apabila masuk tanpa kebenaran pengadil setelah mendapat rawatan kecederaan.

Tidak cukup dengan itu, pemain pertahanan berpengalaman negara iaitu Aidil Zafuan pula dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-94 akibat membantah tindakan pengadil yang menghadiahkan penalti kepada pasukan lawan.

Namun, Hafizul Hakim muncul wira apabila menyelamatkan sepakan penalti untuk memberikan satu mata buat negara. Seri dengan Hong Kong menyaksikan Malaysia ditangga terakhir kumpulan B dengan hanya satu mata sebelum bertemu Korea Utara selepas ini.

 Foto Kredit: Asiana.my